SEKTOR pembuatan dan industri penerbangan tempatan kini berdepan ketidaktentuan ekoran gangguan rantaian bekalan yang berpanjangan serta lonjakan kos logistik global yang mendadak.
Kekurangan bahan mentah kritikal serta kenaikan drastik harga bahan api jet bukan sahaja mengecilkan margin keuntungan syarikat, malah mencetuskan kebimbangan terhadap pelarasan tenaga kerja dan impak harga langsung kepada pengguna domestik.
Dalam mendepani fasa pemulihan operasi yang mencabar ini, pemain kedua-dua industri utama negara itu digesa mengambil pendekatan lebih realistik bagi menguruskan kos rantaian bekalan yang dijangka mengambil masa antara dua hingga lima tahun untuk stabil sepenuhnya.
Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Jacob Lee Chor Kok berkata, sektor pembuatan negara kini berdepan tekanan kos yang kritikal dan boleh mendorong kepada berlakunya krisis struktur sekiranya tiada intervensi awal yang bersesuaian dilakukan.
Menurut beliau, situasi tersebut boleh dibahagikan kepada lima fasa rantaian kesan permulaan, bermula daripada kenaikan harga input sehinggalah kepada risiko penutupan syarikat dalam skala besar.
“Fasa pertama bermula dengan lonjakan harga ekoran kenaikan kos tenaga, sewa, makanan dan minyak mentah. Ini diikuti fasa kedua dan ketiga yang melibatkan gangguan serta kekurangan bahan mentah kritikal di pasaran.
“Seterusnya, industri akan memasuki fasa keempat iaitu pelarasan tenaga kerja yang menyaksikan syarikat terpaksa membekukan pengambilan pekerja, sebelum berakhir dengan fasa kelima yang melibatkan masalah struktur seperti pengurangan waktu operasi atau penutupan kilang,” katanya semasa Forum Perniagaan FLUX baru-baru ini.
Beliau berkata, tinjauan FMM mendapati sebanyak 87 peratus pengilang terkesan dengan kos pengangkutan fret (freight) yang tinggi, dengan 50 peratus daripadanya melaporkan lonjakan kos antara 20 hingga 50 peratus ekoran pelencongan laluan kapal yang memanjangkan tempoh pelayaran sehingga 25 hari.
Selain itu, jelasnya, sebanyak 34 item bahan mentah kritikal mengalami gangguan bekalan dengan purata peningkatan harga mencecah 30 hingga 50 peratus, malah terdapat kes ekstrem yang menyaksikan harga melonjak lima hingga 10 kali ganda lebih mahal.
“Kami cuba bersikap paling realistik yang mungkin terhadap tekanan kos di peringkat akar umbi. Kesannya amat ketara apabila beberapa kilang sudah mula mengurangkan masa pengeluaran dan menghentikan seketika operasi bagi produk tertentu akibat ketiadaan alternatif bahan mentah yang ekonomik.
“Bagi syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang beroperasi dengan margin keuntungan yang sangat nipis, mereka tiada pilihan selain terpaksa melepaskan peningkatan kos tersebut kepada pengguna akhir,” katanya.
Tambahnya, kekangan mobiliti tenaga kerja pasca-krisis menjadi faktor penentu yang melambatkan pemulihan industri, seperti situasi sebelum ini yang menyaksikan kira-kira 200,000 pekerja asing dari Bangladesh dan Nepal terkandas untuk dibawa masuk ke sektor pengeluaran.
Kata beliau, penubuhan kilang-kilang baharu di Malaysia ketika ini juga mencetuskan persaingan sengit untuk mendapatkan bakat tempatan sehingga mendorong kepada aktiviti ‘pancing memancing’ pekerja (job-hopping) dan memaksa syarikat membayar gaji melebihi kadar sepatutnya.
“Persaingan perniagaan dunia hari ini bukan lagi antara syarikat dengan syarikat, tetapi melibatkan persaingan kapasiti bakat antara negara. Malaysia memerlukan jisim kritikal penyelidik, saintis dan inovator bagi memacu transformasi industri ke tahap teknologi tinggi, selaras dengan aspirasi Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar AirAsia X, Benyamin Ismail berkata, sektor penerbangan turut berdepan tamparan hebat pasca-pandemik apabila kos bahan api jet melambung mencecah purata AS$250 (RM990) setong berbanding sekitar AS$90 (RM356) setong pada era sebelum berlakunya konflik dunia.
Menurut beliau, lonjakan kos sehingga tiga kali ganda itu merupakan cabaran terbesar yang perlu diuruskan oleh syarikat penerbangan dalam masa yang singkat ketika ini.
“Harga bahan api jet kini menjadi perkara utama yang perlu difikirkan setiap hari. Bagaimanapun, kami bekerjasama rapat dengan Petronas untuk memastikan perancangan bekalan dalam rantaian kekal mencukupi bagi komitmen jadual penerbangan sedia ada,” katanya.
Katanya, selain isu bahan api, industri penerbangan global dan domestik masih bergelut dengan isu rantaian bekalan alat ganti pesawat. – UTUSAN










