RMK13 perlu tumpu pembangunan ekosistem tenaga lebih bersih - Utusan Malaysia

RMK13 perlu tumpu pembangunan ekosistem tenaga lebih bersih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu memberi tumpuan kepada pembangunan ekosistem tenaga yang lebih bersih, pintar, saling berhubung dan bersedia menghadapi keperluan masa hadapan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13). 

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd. Shahar Abdullah berkata, tumpuan itu merangkumi usaha memperkukuh pemodenan grid elektrik bagi meningkatkan kecekapan dan kebolehpercayaan sistem bekalan tenaga negara, selain membolehkan integrasi tenaga boleh baharu (TBB) secara berskala besar.

“Pada masa sama, negara juga akan membangunkan keupayaan penyimpanan tenaga bateri (battery energy storage) sebagai sokongan kepada kestabilan grid, di samping mempercepatkan agenda pendigitalan serta penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam sektor tenaga.

“RMK13 turut menekankan kepentingan memperluas ketersambungan kuasa serantau ASEAN bagi memperkukuh perdagangan tenaga rentas sempadan, selain melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan ekonomi tenaga baharu yang sedang berkembang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Persidangan peralihan tenaga 2026, tenaga dan kecerdasan buatan (AI), sinergi untuk peralihan tenaga sempena Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (Etcon26) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini. 

Menurut Mohd. Shahar, komitmen Malaysia ke arah masa depan rendah karbon jelas berlandaskan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang dilancarkan pada 2023 sebagai rangka kerja jangka panjang untuk mentransformasi landskap tenaga negara.

“Melalui enam pemacu strategik dan 10 projek pemangkin utama, NETR menyediakan laluan komprehensif bagi mempercepatkan penggunaan tenaga boleh baharu, memodenkan infrastruktur grid, memperkukuh kecekapan tenaga, membangunkan teknologi rendah karbon serta merangsang pelaburan hijau yang akan meletakkan Malaysia sebagai hab peralihan tenaga utama di ASEAN.

“Namun yang lebih penting, NETR bukan sekadar agenda iklim. Pada terasnya, NETR ialah agenda transformasi ekonomi.

“Ia berkait rapat dengan usaha memperkukuh daya tahan ekonomi jangka panjang, meningkatkan keselamatan tenaga negara, menarik pelaburan berkualiti, mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi serta memastikan manfaat peralihan ini dapat dinikmati secara inklusif oleh seluruh masyarakat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN