Proton perluas eksport EV ke Brunei - Utusan Malaysia

Proton perluas eksport EV ke Brunei

PROTON perluas pasaran eksport kenderaan elektrik (EV) ke Brunei.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Proton terus memperluaskan strategi eksport kenderaan elektrik (EV) apabila melantik Grand Motors Sdn. Bhd. sebagai pengedar rasmi Proton e.MAS di Brunei Darussalam, sekali gus menjadikan negara itu pasaran eksport kedua jenama berkenaan selepas Singapura.

Langkah itu mengukuhkan usaha Proton memperluaskan kehadiran kenderaan tenaga baharu (NEV) buatan Malaysia di rantau ASEAN, sejajar dengan permintaan yang semakin meningkat terhadap mobiliti rendah karbon.

Melalui pelantikan tersebut, Grand Motors yang mempunyai lebih 40 tahun pengalaman dalam industri automotif Brunei akan mengendalikan jualan, pemasaran, khidmat pelanggan serta perkhidmatan selepas jualan Proton e.MAS, termasuk mengoperasikan bilik pameran dan pusat servis khusus.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton International Corporation, Edmund Lim Meng Thong berkata, pelantikan itu mencerminkan komitmen Proton untuk mengembangkan perniagaan mobiliti masa depan di pasaran antarabangsa.

Katanya, Brunei merupakan pasaran yang berpotensi kerana negara itu giat membangunkan ekosistem pengangkutan lestari, selain pengguna semakin berminat terhadap kenderaan yang menawarkan teknologi moden, ciri keselamatan tinggi dan praktikal untuk kegunaan harian.

“Kerjasama dengan Grand Motors menggabungkan kepakaran tempatan syarikat itu dengan keupayaan Proton dalam pembangunan EV bagi menyediakan pengalaman pemilikan yang menyeluruh kepada pelanggan,” kayanya dalam kenyataan.

Dari sudut ekonomi, kemasukan Proton e.MAS ke Brunei dijangka memperkukuh prestasi eksport automotif negara serta meningkatkan daya saing industri EV Malaysia di peringkat serantau. 

“Ia juga menyokong usaha Proton mempelbagaikan sumber pendapatan melalui pasaran eksport ketika industri automotif global sedang beralih kepada teknologi hijau,” katanya.

Proton berkata, pengenalan Proton e.MAS di Brunei akan menyokong sasaran negara itu untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2035 melalui penyediaan pilihan EV yang lebih mampu dimiliki.

Sementara itu, pelantikan Grand Motors hanya melibatkan rangkaian Proton e.MAS dan kenderaan tenaga baharu, manakala PAD Motors Sdn Bhd kekal sebagai pengedar rasmi model enjin pembakaran dalaman (ICE) Proton di Brunei.

Dengan dua rangkaian pengedar yang memberi tumpuan kepada segmen kenderaan konvensional dan tenaga baharu, Proton optimis dapat mengukuhkan kedudukannya di Brunei sambil memperluaskan pengaruh jenama automotif Malaysia di pasaran ASEAN. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN