Proton e.Mas 7 baharu dilengkapi kerusi urut, jarak pandu 450km - Utusan Malaysia

Proton e.Mas 7 baharu dilengkapi kerusi urut, jarak pandu 450km

ZHANG Qiang (dua dari kanan) bersama pengurusan Proton dalam majlis pelancaran e.Mas 7 Premium Plus di Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2026, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Proton Holdings Berhad (Proton) menampilkan e.Mas 7 Premium Plus yang memfokuskan keselesaan pemandu dan penumpang serta jarak pemanduan lebih jauh dengan kuasa bateri lebih besar.

Model baharu keluaran anak syarikat milik penuh Proton, Pro-Net ini menampilkan ciri-ciri baharu bagi keselesaan pemandu dan penumpang seperti tempat duduk hadapan berkembar dilengkapi fungsi urutan; tempat duduk berkuasa dengan pelarasan empat hala serta memori; dan penyandar kaki dengan sudut condong 50 darjah.

Kuasa bateri pula dipertingkat menggunakan Aegis Short Blade berkapasiti 68.39 kilowatt-jam (kWh) yang menawarkan anggaran jarak pemanduan sehingga 450 kilometer (km).

Walaupun dengan bateri berkapasiti lebih besar, ia masih mengekalkan pengecasan pantas daripada 30 hingga 80 peratus dalam tempoh kira-kira 20 minit sama seperti varian Premium.

Ketua Pegawai Eksekutif Pro-Net, Zhang Qiang berkata, keupayaan jarak pemanduan lebih jauh ini sekali gus memberi keyakinan kepada pengguna kenderaan elektrik selain menyediakan keselesaan lebih baik.

“Gabungan jarak pemanduan yang lebih jauh serta keselesaan yang dipertingkat menjadikan varian Premium Plus lebih praktikal dan menyeronokkan untuk dimiliki.

“Ia turut mengukuhkan lagi daya tarikan Proton e.Mas 7 sebagai EV mesra keluarga untuk kegunaan harian dan perjalanan jarak jauh,” katanya di Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2026 di sini, semalam.

Varian e.Mas 7 ditawarkan pada harga RM125,800 bagi Premium Plus, RM119,800 (Premium) dan RM103,800 (Prime) di Semenanjung.

Sempena pelancarannya, pelanggan juga menerima rebat sebanyak RM7,000 menjadikan harganya RM118,800 (Premium Plus), RM112,800 (Premium) dan RM96,000 (Prime) di Semenanjung.

Pelanggan juga ditawarkan Power Pack Plus merangkumi Power Exchange iaitu yuran pemprosesan tukar beli secara percuma dan insentif tambahan RM5,000 untuk pemilik Proton sedia ada; Power Home (pengecas percuma bernilai RM1,500); Power Plus (adaptor percuma bernilai RM500); Power Online (data internet percuma lima tahun bernilai RM1,800); dan Power Thru (jaminan tanpa had jarak selama enam tahun dan jaminan bateri lapan tahun/160,000 km). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN