KUALA LUMPUR: Penstrukturan semula TERAJU dilihat sebagai langkah strategik bagi memperkukuh pelaksanaan agenda pembangunan Bumiputera, khususnya dalam mempercepat sasaran penyenaraian syarikat serta pelaksanaan dasar ekonomi jangka panjang seperti PuTERA35.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, perubahan itu bukan sekadar rombakan pentadbiran, sebaliknya pengiktirafan terhadap peranan TERAJU dalam membina ekosistem syarikat Bumiputera berdaya saing di pasaran modal.
“TERAJU kini memasuki fasa pelaksanaan selepas beberapa tahun membina asas menerusi pelbagai program pembangunan termasuk XCELERATE dan Pemudahcara Akses Pasaran Modal Bumiputera (BSAF) yang membantu syarikat bersedia ke arah tawaran awam permulaan (IPO).
“Kalau kita lihat, asas sudah dibina. Sekarang ini soal pelaksanaan. Program seperti XCELERATE dan BSAF telah disusun, jadi yang penting ialah bagaimana kita melaksanakannya dan menjayakan hasilnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas peranan baharu TERAJU di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) selepas menghadiri penyenaraian Elsa Berhad di Bursa Malaysia, hari ini.
Akmal Nasrullah berkata, kerajaan kekal komited mencapai sasaran kira-kira 20 syarikat Bumiputera disenaraikan menjelang 2026, merangkumi Pasaran ACE dan Pasaran Utama, bergantung kepada tahap kesiapsiagaan syarikat.
Menurutnya, agenda itu selari dengan kerangka jangka panjang PuTERA35 yang memberi tumpuan kepada peningkatan daya saing, tadbir urus korporat dan pertumbuhan mampan syarikat Bumiputera.
“Perkara penting sekarang ialah keberanian dan keyakinan syarikat swasta untuk berkembang. Apabila memasuki pasaran, mereka perlu mematuhi tadbir urus yang baik, mempunyai sasaran pertumbuhan mampan dan mampu menarik pelabur.
“Pemindahan TERAJU ke JPM akan memperkukuh penyelarasan dasar serta mempercepat pelaksanaan agenda pembangunan Bumiputera di peringkat nasional,” jelasnya.
Dalam pada itu, Elsa Berhad antara 20 syarikat Bumiputera berpotensi tinggi yang dikenal pasti menerusi program BSAF dan XCELERATE sebagai persediaan ke arah penyenaraian di Bursa Malaysia.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Junady Nawawi berkata, penyenaraian Elsa mencerminkan keberkesanan ekosistem sokongan yang dibangunkan dalam membantu syarikat Bumiputera memasuki pasaran modal.
“Elsa merupakan syarikat pertama daripada program XCELERATE yang berjaya disenaraikan tahun ini, dan lebih banyak syarikat dijangka menyusul dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
“Momentum penyenaraian itu dijangka mempercepat kemasukan lebih banyak syarikat Bumiputera ke pasaran modal dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang,” katanya.
Elsa Berhad, vendor berlesen Petronas, turut dikenali sebagai antara syarikat awal di Asia yang menawarkan teknologi pemeriksaan paip bawah laut secara autonomi.
Melalui BSAF, syarikat Bumiputera menerima pembiayaan strategik sehingga RM10 juta bagi menyokong pertumbuhan, pengembangan perniagaan dan persediaan pra-IPO termasuk aktiviti penggabungan dan pengambilalihan, pengembangan pasaran serta kerjasama antarabangsa.
TERAJU menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh ekosistem ini bagi melahirkan lebih banyak syarikat Bumiputera berdaya saing dan bersedia ke peringkat global selaras aspirasi PuTERA35. – UTUSAN










