KUALA LUMPUR: AEON Credit Service (M) Berhad (AEON Credit) mencatatkan prestasi luar biasa dalam pasaran pembiayaan motosikal apabila jualan bagi segmen jentera berkuasa tinggi (superbike) melonjak hampir dua kali ganda.
Pertumbuhan drastik bagi kategori motosikal berkapasiti enjin 250cc ke atas itu didorong oleh peningkatan pendapatan purata rakyat Malaysia, sekali gus merancakkan permintaan terhadap gaya hidup pemanduan tersebut.
Pengarah Urusan AEON Credit, Daisuke Maeda berkata, prestasi portfolio pembiayaan motosikal secara keseluruhan kekal berada pada paras yang sangat stabil dengan kadar pinjaman tidak berbayar (NPL) yang terkawal.
“Melihat kepada momentum stabil ini, kumpulan akan terus mengguna pakai strategi serampang pelbagai hala bagi meluaskan penguasaan pasaran domestik dalam segmen berkenaan.
“Selain memperluas pembiayaan bagi pasaran jentera 250cc ke atas, kami turut memperkukuh penjenamaan imej syarikat kepada pelanggan melalui tajaan pelumba muda negara, Hakim Danish,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-29 kumpulan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pendekatan penjenamaan agresif itu penting bagi memastikan AEON Credit kekal menjadi pilihan utama berbanding hanya bergantung kepada penawaran produk semata-mata.
“Sebagai sebahagian daripada strategi serantau, kumpulan turut memperkenalkan Kad Kredit Rider (Bike Credit Card) khusus untuk menawarkan ekosistem pembiayaan yang lebih menyeluruh kepada komuniti penunggang motosikal di negara ini.
“Langkah perluasan pasaran ini dijangka terus menyokong sasaran pertumbuhan pinjaman keseluruhan kumpulan sekitar lapan peratus bagi tahun kewangan 2027,” tambahnya.
Bagi tahun kewangan berakhir 28 Februari 2026, AEON Credit merekodkan pertumbuhan belum terima kasar sebanyak 11.4 peratus kepada RM15.72 bilion yang diterajui oleh pembiayaan motosikal, superbike dan perniagaan pembayaran. – UTUSAN










