PETALING JAYA: Pearl Gain Sdn. Bhd. melalui pusat kecergasan eksklusif wanitanya, Glamfit menyasarkan membuka satu lagi cawangan baharu di sekitar Lembah Klang dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang.
Perancangan itu akan menjadikan jumlah keseluruhan kepada tiga cawangan, selepas sebelum ini berjaya membuka cawangan kedua di Eco Grandeur, Puncak Alam.
Pengurus Kelab Glamfit, Phyllis Rinja James berkata, perancangan itu dibuat susulan peningkatan permintaan terhadap pusat kecergasan eksklusif wanita serta kesedaran masyarakat terhadap kepentingan kesihatan dan kesejahteraan diri.
“Ia juga merupakan usaha kami dalam memperkukuh komitmen dalam memperkasa wanita menerusi gaya hidup sihat, kecergasan dan kesejahteraan holistik.
“Berteraskan slogan ‘By Women, For Women’, Glamfit turut menyediakan ruang kecergasan yang selamat, selesa, inklusif dan mesra Muslimah bagi membantu wanita daripada pelbagai latar belakang mencapai potensi diri terbaik,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, perancangan pembukaan cawangan baharu merupakan sebahagian daripada usaha memperluaskan akses wanita kepada komuniti kecergasan berkualiti.
“Kami mahu menyediakan ekosistem kecergasan yang bukan sahaja memfokuskan kesihatan fizikal, tetapi turut menyokong kesejahteraan mental dan emosi wanita.
“Selain latihan peribadi, kami menawarkan kelas berkumpulan seperti Latihan Selang-Seli Intensiti Tinggi (HIIT), yoga, pilates dan latihan beban bagi memenuhi pelbagai keperluan pelanggan,” katanya.
Menurut beliau, Glamfit turut menyediakan kemudahan seperti Spin Studio, Yoga Room, Main Gym Studio dan Glamfit Café bagi memberikan pengalaman kecergasan lebih menyeluruh kepada pelanggan.
“Glamfit juga memperluaskan fokus terhadap sokongan kepada golongan ibu yang mempunyai anak bagi membantu mereka membina semula keyakinan diri, kembali aktif dan mengamalkan gaya hidup sihat dalam persekitaran yang positif.
“Bagi memperkukuh jenama dan penglibatan komuniti, kami turut menjalinkan kerjasama strategik bersama pelbagai syarikat dan organisasi.
“Ini termasuk Mustika Ratu, Herbalife, Pierre Cardin, Yakult, ASICS, Decathlon dan Breast Cancer Welfare Association Malaysia.
“Selain itu, Glamfit turut bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia dalam penganjuran program komuniti dan acara kecergasan berskala besar seperti Hari Sukan Negara, Power Hour Putrajaya: Zumba x Salsation 2024 serta Neon Fitness Fusion: Piloxing x Salsation 2025,” jelasnya. – UTUSAN










