PETALING JAYA: Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC) kini diperkukuh dengan penubuhan Panel Penasihat (MAP) baharu bagi memacu kedudukan negara sebagai pasaran global terkemuka dan pintu masuk antarabangsa untuk kewangan Islam.
Penubuhan entiti baharu itu menyaksikan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menyelaraskan langkah strategik melalui mesyuarat sulung platform nasihat dan perundingan antara agensi berkenaan semalam.
MAP yang dipengerusikan bersama oleh BNM dan SC menyatukan agensi utama kerajaan, badan kawal selia serta peneraju industri dalam memastikan pendekatan yang holistik untuk memajukan cita-cita kewangan Islam global Malaysia.
Dalam mesyuarat tersebut, ahli panel membincangkan peranan utama MAP termasuk memperhalusi dan menyokong keutamaan strategik Rangkaian Perniagaan MIFC (MBN) yang dipimpin oleh industri bagi menerokai peluang pasaran antarabangsa.
Langkah ini bagi memastikan inisiatif industri mempunyai sumber mencukupi serta sejajar dengan strategi ekonomi negara yang lebih luas selain menyediakan cadangan tindakan untuk mengatasi cabaran pertumbuhan.
Selain itu, platform berkenaan turut berfungsi memanfaatkan pandangan kolektif bagi meningkatkan penyertaan antarabangsa serta kerjasama rentas sempadan.
Antara agensi yang menganggotai MAP termasuklah Kementerian Kewangan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Bursa Malaysia, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, dan Khazanah Nasional Berhad.
Turut menganggotai panel berkenaan ialah Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan), Permodalan Nasional Berhad, Lembaga Tabung Haji, Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan serta dua Tokoh Perniagaan iaitu Tan Sri Azman Mokhtar dan Tan Sri Abdul Wahid Omar.
Penubuhan MAP ini juga bertepatan dengan peralihan rasmi Majlis Kepimpinan MIFC (MLC) ke dalam MBN yang menandakan anjakan ke arah pengawasan lebih besar oleh pihak industri dengan sokongan kerjasama sektor awam dan swasta.
Berteraskan asas yang didirikan oleh MLC, MBN akan memacu dan melaksanakan keutamaan strategik untuk membuka peluang perniagaan baharu buat Malaysia.
Bagi mempercepatkan momentum itu, panduan dan sokongan daripada panel penasihat baharu ini bakal memainkan peranan kritikal dalam memangkinkan pertumbuhan ekonomi negara sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai hab kewangan Islam yang terhubung secara global. – UTUSAN










