Naza Eastern Motors lancar Suzuki e VITARA bermula RM188,000

Naza Eastern Motors lancar Suzuki e VITARA bermula RM188,000

SUZUKI e VITARA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Naza Eastern Motors melancarkan Suzuki e VITARA, kenderaan elektrik pacuan bateri (BEV) global pertama daripada jenama berkenaan pada harga bermula RM188,000.

Kenderaan utiliti sukan (SUV) elektrik sepenuhnya yang dibina di atas platform baharu HEARTECT-e itu bakal diperkenalkan dalam unit yang terhad untuk pasaran tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Automotif Naza, Mohd Rizal Jailan berkata, pengenalan e VITARA menandakan detik penting bukan sahaja untuk Suzuki, malah buat Naza Eastern Motors dalam melangkah ke era mobiliti elektrik.

“e VITARA mencerminkan komitmen Suzuki dalam membangunkan kenderaan elektrik yang praktikal dan mudah diakses bagi memenuhi keperluan pelanggan yang dinamik tanpa mengabaikan gaya, kebolehpercayaan serta keseronokan pemanduan yang sinonim dengan jenama ini.

“Ia merupakan langkah penting dalam memperluas kehadiran Suzuki di Malaysia, sekali gus menyokong peralihan negara ke arah masa depan automotif yang lebih mampan,” katanya dalam kenyataan. 

Suzuki e VITARA hadir dengan konsep reka bentuk berteknologi tinggi dan kembara yang diinspirasikan daripada elemen ‘Metal Beast’, menawarkan estetika digital masa hadapan bersama reka bentuk SUV yang sasa.

Model kompak urban ini dijana oleh sistem pacuan elektrik eAxle terbaharu yang menggabungkan bateri lithium iron-phosphate berkapasiti 61kWh dengan motor tunggal, menghasilkan kuasa 128kW (252hp) dan tork 193Nm untuk jarak pemanduan sehingga 426 kilometer (km).

Model ini turut menyokong pengecasan arus terus (DC) daripada 10 peratus kepada 80 peratus dalam tempoh seawal 45 minit, manakala pengecasan arus ulang-alik (AC) pada 7kW mengambil masa sekitar sembilan jam.

Menjengah ke ruang kabin, ia dilengkapi dengan Sistem Paparan Bersepadu (IDS) yang menggabungkan kluster instrumen dan paparan infotmen tengah dalam satu unit, konsol tengah terapung, serta pengecas pintar wayarles Qi.

Bagi ketenangan minda pemilik, setiap pembelian didatangkan dengan jaminan kenderaan selama lima tahun tanpa had perbatuan, jaminan komponen BEV selama lima tahun atau 100,000 km, serta jaminan bateri selama lapan tahun atau 160,000 km.

Menurutnya, 10 pelanggan pertama yang membuat pembelian bakal menikmati kemudahan pengecasan EV percuma selama lima tahun di pengedar terpilih, tertakluk kepada terma dan syarat.

Dalam perkembangan sama, Naza Eastern Motors turut memperkenalkan program jaminan kenderaan baharu lima tahun tanpa had perbatuan untuk model Suzuki terpilih (Jimny AllGrip Plus, Jimny Rhino Plus, Fronx dan Fronx Sport) bagi menggantikan pakej jaminan tiga tahun atau 100,000 km sebelum ini.

e VITARA ditawarkan dalam lima pilihan warna luaran termasuk Celestial Blue Pearl Metallic, Bluish Black Pearl, Land Breeze Green Pearl Metallic dengan Bluish Black Pearl, Splendid Silver Pearl Metallic dengan Bluish Black Pearl dan Grandeur Grey Pearl Metallic dengan Bluish Black Pearl. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×