
SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI Selangor) terus memperkukuh peranannya sebagai pemangkin strategik pembangunan ekonomi negeri dengan memberi tumpuan kepada sektor-sektor bernilai tinggi yang mampu mengangkat Selangor sebagai hab pelaburan, inovasi dan teknologi utama di rantau ASEAN.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) MBI Selangor, Datuk Ts Saipolyazan M Yusop berkata, visi jangka panjang adalah untuk memperkukuh kedudukan Selangor sebagai sebuah negeri maju, berdaya tahan dan kompetitif di peringkat serantau serta global menerusi pembangunan ekonomi berasaskan inovasi, teknologi dan kelestarian.
Katanya, MBI Selangor bukan sekadar pengurus aset negeri, sebaliknya bertindak sebagai jambatan strategik yang menghubungkan dasar kerajaan negeri dengan pelaksanaan sektor swasta bagi mewujudkan ekosistem ekonomi masa hadapan yang mampu menarik pelaburan berkualiti dan memberi manfaat secara inklusif kepada rakyat.
“Dalam tempoh lima (5) hingga sepuluh (10) tahun akan datang, fokus utama MBI Selangor adalah memacu transformasi Selangor sebagai ekonomi masa hadapan yang berteraskan teknologi tinggi, inovasi digital dan pembangunan mampan selaras dengan aspirasi Rancangan Selangor,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut beliau, antara sektor yang menjadi keutamaan MBI Selangor termasuk kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital, semikonduktor, aeroangkasa, infrastruktur pintar, tenaga boleh diperbaharui, pengurusan air, logistik serta teknologi hijau.
“Sektor-sektor tersebut dipilih berdasarkan potensi pertumbuhan global, keupayaan menarik pelaburan strategik serta kemampuannya mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat Selangor,” katanya.
Dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global yang dipengaruhi faktor geopolitik, perubahan rantaian bekalan dan transformasi teknologi, MBI Selangor mengambil pendekatan memperkukuh daya tahan ekonomi negeri menerusi pembangunan infrastruktur strategik, sekuriti air dan tenaga, serta pengukuhan ekosistem pelaburan yang mesra pelabur.
“Pelabur hari ini bukan hanya menilai kos kompetitif, tetapi turut memberi keutamaan kepada kestabilan, kesiapsiagaan infrastruktur dan keyakinan terhadap hala tuju ekonomi jangka panjang.
“Justeru, MBI Selangor terus memainkan peranan aktif dalam memperkukuh mekanisme pengurusan risiko dan daya tahan ekonomi negeri,” katanya.
Saipolyazan berkata, kekuatan Selangor sebagai penyumbang terbesar kepada ekonomi negara terletak pada ekosistem industrinya yang matang, jaringan logistik yang kukuh, tenaga kerja berkemahiran tinggi serta keterhubungan strategik yang menjadikannya destinasi pelaburan utama di rantau ini.
Sepanjang tempoh kepimpinan semasa, antara pencapaian yang dibanggakan ialah kejayaan memperkukuh kedudukan Selangor sebagai penyumbang ekonomi terbesar negara, selain menyokong pelaksanaan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dan pembangunan projek-projek strategik seperti Sabak Bernam Development Area (SABDA), Selangor Maritime Gateway (SMG) serta Integrated Development Region in South Selangor (IDRISS).
MBI Selangor juga kini diberi tanggungjawab penting untuk menyokong pelaksanaan Rancangan Selangor Kedua (RS-2) melalui pembangunan projek berimpak tinggi, pelaburan strategik dan pengukuhan ekosistem ekonomi negeri secara menyeluruh.
Dalam memastikan setiap pelaburan memberi manfaat langsung kepada rakyat, MBI Selangor mengguna pakai pendekatan penilaian yang holistik dengan meneliti impak ekonomi dan sosial jangka panjang termasuk penciptaan pekerjaan berkualiti, pembangunan bakat tempatan, pemindahan teknologi, pemerkasaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pembangunan infrastruktur awam.
“Bagi MBI Selangor, penciptaan nilai atau value creation bukan hanya diukur melalui keuntungan kewangan semata-mata, tetapi bagaimana sesuatu pelaburan mampu menjana pertumbuhan ekonomi baharu, memperkukuh daya tahan negeri, meningkatkan kesejahteraan rakyat serta menyokong pembangunan mampan,” katanya.
Antara petunjuk prestasi utama (KPI) yang digunakan oleh MBI Selangor termasuk jumlah pelaburan strategik yang berjaya dibawa masuk, penciptaan peluang pekerjaan berkualiti, pertumbuhan ekonomi negeri, pulangan strategik kepada kerajaan negeri, prestasi ESG, pembangunan bakat serta kejayaan pelaksanaan projek pemangkin berimpak tinggi.
Beliau berkata, MBI Selangor akan terus memainkan peranan sebagai rakan strategik Kerajaan Negeri dalam merealisasikan aspirasi Selangor sebagai negeri maju, pintar, mampan dan berdaya saing di peringkat global.
Sementara itu, orang ramai dan komuniti perniagaan dijemput menyertai Selangor International Business Summit (SIBS) 2026 yang akan berlangsung pada 14 hingga 17 Oktober di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), sebagai platform utama memperkukuh jaringan perniagaan, pelaburan dan kerjasama ekonomi serantau.-UTUSAN










