PETALING JAYA: Manulife Holdings Berhad (Manulife Malaysia) mencatatkan keuntungan bersih berjumlah RM112 juta pada tahun kewangan 2025, mencerminkan prestasi yang kukuh dan mampan.
Menurut kenyataannya, pertumbuhan yang stabil tersebut disokong oleh pelaksanaan strategi yang berdisiplin serta prestasi kukuh merentasi perniagaan insurans dan pengurusan asetnya.
Bagi tempoh sama, syarikat merekodkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM159 juta, mencerminkan tumpuan yang jelas dan konsisten dalam memenuhi keperluan pelanggan sepanjang perjalanan kesihatan dan kewangan mereka.
Prestasi perniagaan insurans kekal berdaya tahan dengan Annual Premium Equivalent (APE) meningkat sebanyak 13 peratus, disokong oleh penawaran produk inovatif serta pengembangan berterusan kerjasama saluran pengedaran.
Manulife Investment Management Malaysia turut melaporkan prestasi memberangsangkan dengan aset di bawah pengurusan (AUM) mencapai rekod RM17.9 bilion setakat 31 Disember 2025, sekali gus mencerminkan keyakinan pelabur yang berterusan, didorong oleh pertumbuhan dalam segmen perniagaan runcit dan institusi.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Manulife Malaysia, Vibha Coburn berkata, prestasi 2025 mencerminkan kekuatan pelaksanaan strategi syarikat serta dedikasi pasukan dalam memberikan hasil yang bermakna kepada pelanggan.
“Sepanjang tahun ini, kami terus memperkukuh keupayaan untuk menyokong rakyat Malaysia pada setiap peringkat kehidupan menerusi penyelesaian kesihatan, perlindungan dan kekayaan yang bersepadu, sambil memudahkan akses pelanggan kepada perkhidmatan serta sokongan yang mereka perlukan,” katanya.
Kumpulan itu turut meraih pelbagai pengiktirafan industri yang mencerminkan tumpuannya terhadap prestasi pelaburan yang kukuh, peningkatan pengalaman pelanggan serta inovasi produk.
Antara pengiktirafan yang diterima termasuk di LSEG Lipper Awards, apabila Manulife Investment Management Malaysia memenangi 11 anugerah dana dan kumpulan merangkumi kategori Malaysia serta Islam global bagi prestasi pelaburan.
Selain itu, kumpulan berkenaan menerima Anugerah Perak bagi Pengalaman Pelanggan Terbaik di CX Asia Excellence Awards, manakala produk Manulife Health Saver Enrich (MHSE) diiktiraf sebagai Produk Inovatif Terbaik pada Asia Consumer Insurance Awards. – UTUSAN










