Mah Sing di senarai Fortune Southeast Asia 500 

Mah Sing di senarai Fortune Southeast Asia 500 

MAH Sing Group Berhad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mah Sing Group Bhd sekali lagi disenaraikan dalam Fortune Southeast Asia 500 bagi tahun ketiga berturut-turut sejak senarai itu diperkenalkan pada 2024.

Senarai berprestij yang diterbitkan Fortune itu menilai syarikat terbesar di rantau Asia Tenggara berdasarkan hasil pendapatan tahun kewangan terkini, merangkumi syarikat dari Indonesia, Thailand, Malaysia, Singapura, Vietnam, Filipina dan Kemboja.

Pengiktirafan itu turut memperkukuh kedudukan Mah Sing sebagai antara pemaju hartanah utama negara dengan rekod prestasi lebih tiga dekad.

Prestasi kukuh kumpulan itu disokong tahun kewangan 2025 yang menyaksikan jualan hartanah tertinggi dalam tempoh sedekad iaitu RM2.51 bilion, dipacu permintaan kukuh terhadap pembangunan kediaman.

Mah Sing turut mencatat hasil RM2.52 bilion serta keuntungan sebelum cukai RM382.9 juta, meningkat 13.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Jualan belum dibil pula berjumlah RM3.24 bilion setakat 31 Disember 2025, sekali gus memberikan keterlihatan pendapatan yang stabil bagi tempoh akan datang.

Meneruskan momentum itu, kumpulan berkenaan merekodkan jualan hartanah baharu sebanyak RM978 juta dalam tempoh lima bulan pertama 2026, meletakkan syarikat pada landasan kukuh untuk mencapai sasaran jualan penuh tahun sebanyak RM2.76 bilion.

Prestasi tersebut disokong permintaan domestik yang berterusan khususnya dalam segmen mampu milik dan pertengahan, selain pelancaran projek strategik di lokasi utama.

Bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026, Mah Sing mencatat peningkatan tiga peratus dalam keuntungan bersih yang boleh diagihkan kepada pemegang saham, dipacu campuran projek lebih baik, kecekapan operasi serta pelaksanaan berdisiplin.

Jualan belum dibil kumpulan turut meningkat kepada RM3.33 bilion, mengukuhkan asas pendapatan masa hadapan.

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata pengiktirafan dalam Fortune Southeast Asia 500 menjadi pengesahan terhadap perjalanan pertumbuhan dan daya tahan syarikat.

“Mendapat pengiktirafan dalam Fortune Asia Tenggara 500 untuk tahun ketiga berturut-turut adalah pengesahan bermakna tentang perjalanan pertumbuhan, daya tahan dan keupayaan Mah Sing untuk mencipta nilai jangka panjang yang mampan.

“Lebih ketara, ia mencerminkan kepercayaan pelanggan, pemegang saham dan rakan kongsi perniagaan kami selama ini,” katanya.

Beliau berkata Asia Tenggara kini muncul sebagai enjin pertumbuhan utama ekonomi global, sekali gus memerlukan syarikat bersedia untuk peluang jangka panjang.

Katanya, Mah Sing akan terus memberi tumpuan kepada inovasi, kecemerlangan operasi serta pengurusan modal berhemah dalam memperkukuh daya saing.

Walaupun pembangunan hartanah kekal sebagai teras utama, beliau berkata kumpulan itu turut mengukuhkan portfolio pendapatan berulang melalui pembangunan industri, infrastruktur digital dan aset pelaburan terpilih.

“Ini termasuk meningkatkan kehadiran kami dalam pembangunan industri, infrastruktur digital dan aset pelaburan terpilih yang dapat menjana aliran pendapatan stabil dan berulang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN