M K Land Holdings Berhad (M K Land) terus memperkukuh komitmennya dalam menyediakan pembangunan kediaman berkualiti dan mampu milik menerusi projek terbaharu, Lily di Raia Perdana, Ipoh dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM716.64 juta.
Direka bagi memenuhi keperluan pelbagai peringkat kehidupan, Lily merupakan projek rumah teres dua tingkat yang menggabungkan elemen mampu milik, reka bentuk praktikal serta lokasi strategik di Ipoh yang sedang pesat membangun.
Ketua Hartanah Wilayah Utara MK Land, Norida Abu Kassim berkata, sambutan positif yang diterima membuktikan keyakinan pembeli terhadap reputasi dan kredibiliti M K Land sebagai pemaju berpengalaman di Ipoh.
“Selama lebih 25 tahun, M K Land telah membangunkan pelbagai projek hartanah di Ipoh dan koridor utaranya dengan memberi penekanan kepada pembangunan berkualiti serta nilai jangka panjang kepada komuniti.
“Kepercayaan yang terus diberikan oleh pembeli membuktikan bahawa MK Land merupakan pemaju yang berkeupayaan serta mempunyai rekod pembangunan yang terbukti di Ipoh,” katanya dalam kenyataan.
Projek itu sesuai untuk pembeli rumah pertama, keluarga muda serta golongan profesional yang mencari persekitaran kediaman lebih tenang dan selesa.
Beliau berkata, pembangunan itu turut menawarkan pilihan kediaman jangka panjang kepada warga emas yang ingin menikmati kehidupan persaraan di rumah sendiri bersama insan tersayang.
Menurutnya, setiap unit Lily dibangunkan dengan keluasan binaan sekitar 1,150 kaki persegi, merangkumi empat bilik tidur dan tiga bilik air.
“Dengan harga bermula RM250,000, projek ini turut ditawarkan di bawah Skim Rumah Perakku 3 dan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP), yang menyediakan pembiayaan sehingga 100 peratus bagi membantu lebih ramai golongan berpendapatan sederhana memiliki kediaman sendiri.
“Fasa pertama projek Lily yang dilancarkan pada Januari 2026 melibatkan 54 unit dan menerima sambutan amat menggalakkan daripada pembeli,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata M K Land akan melancarkan fasa kedua tidak lama lagi yang akan menawarkan tambahan 80 unit, menjadikan keseluruhan pembangunan Lily sebanyak 134 unit.
“Sambutan positif yang diterima bagi fasa pertama mencerminkan keyakinan pembeli terhadap pengalaman dan rekod pembangunan M K Land di Ipoh, khususnya dalam menyediakan kediaman berkualiti yang memenuhi keperluan pasaran semasa.
“Setiap pembangunan M K Land di koridor utara termasuk Ipoh dirancang berlandaskan prinsip pembangunan lestari bagi memastikan keseimbangan antara keperluan semasa dan masa depan komuniti.
“Lily direka bukan sahaja untuk memenuhi keperluan kediaman masa kini, tetapi juga untuk menyokong pembangunan kejiranan yang holistik, inklusif dan berdaya tahan, selaras dengan aspirasi kami untuk membina komuniti mampan,” katanya.
Dibangunkan di lokasi strategik Raia Perdana, Lily menawarkan akses mudah ke rangkaian jalan utama, kemudahan asas serta kawasan perbandaran sedia ada.
Ia menjadikannya pilihan ideal bagi mereka yang ingin memulakan kehidupan berkeluarga dalam persekitaran yang selesa, praktikal dan terancang. – UTUSAN










