KUALA LUMPUR: KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare) mencatatkan peningkatan keuntungan selepas cukai sebanyak 10 peratus kepada RM402 juta bagi Tahun Kewangan 2025 (TK2025) berbanding tahun sebelumnya.
Prestasi kewangan yang kukuh itu disokong oleh lonjakan hasil kumpulan sebanyak 9 peratus yang mencecah RM4.26 bilion berbanding RM3.90 bilion pada TK2024, manakala keuntungan sebelum cukai turut bertambah 6 peratus kepada RM563 juta.
Kumpulan turut terus menawarkan nilai kepada pemegang saham melalui pulangan yang lebih baik, kedudukan kewangan yang lebih kukuh serta pertumbuhan permodalan pasaran yang mampan.
Pengerusi KPJ Healthcare, Tan Sri Dr. Ismail Bakar berkata, pencapaian memberangsangkan sepanjang TK2025 itu mencerminkan transformasi berterusan Kumpulan daripada sekadar rangkaian hospital kepada sebuah sistem kesihatan bersepadu menerusi KPJ Health System (KPJHS).
“Pendekatan ini memperkukuh keupayaan kami untuk menyediakan penjagaan berkualiti tinggi, melahirkan bakat penjagaan kesihatan masa depan serta memacu inovasi, sambil mewujudkan nilai mampan kepada pesakit, komuniti dan pemegang saham.
“Dalam melangkah ke hadapan, kami kekal komited dalam memastikan KPJ terus berkembang dengan tujuan yang jelas, daya tahan dan impak jangka panjang, sekali gus mewujudkan akses yang lebih luas kepada penjagaan kesihatan yang berkualiti,” katanya semasa sidang akhbar selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-33 kumpulan di sini hari ini.
Sementara itu, Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan berkata, tumpuan kumpulan kini adalah untuk memperluas keupayaan sedia ada ke seluruh rangkaian melalui integrasi sistem, pembangunan Pusat Kecemerlangan (CoE) serta penerapan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), genomik dan penjagaan berasaskan nilai.
“Sepanjang TK2025, KPJ Healthcare mencatatkan pelbagai pencapaian klinikal penting termasuk pelancaran CoE Jantung dan Paru-Paru di Johor Specialist Hospital, serta pelaksanaan prosedur rawatan perintis seperti Pressurised Intraperitoneal Aerosol Chemotherapy (PIPAC) pertama oleh sektor swasta di Malaysia dan pembedahan Deep Brain Stimulation (DBS),” katanya.
Kumpulan turut memperluas kerjasama strategik antarabangsa bersama Mayo Clinic, menubuhkan School of Digital Health dan AI Academy di KPJ Healthcare University, serta membangunkan chatbot penglibatan pesakit berasaskan AI dengan kerjasama IBM Malaysia.
Bagi mengekalkan momentum pertumbuhan pada TK2026, KPJ Healthcare telah menetapkan beberapa keutamaan strategik termasuk pelancaran CoE Neurosains dan Strok di Damansara Specialist Hospital 2, pelaksanaan prosedur pemindahan buah pinggang di Tawakkal Specialist Hospital, serta pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) bersama Royal College of Surgeons of England.
Sebagai Sistem Kesihatan Akademik Bersepadu swasta pertama di Malaysia, kumpulan akan terus mempercepatkan agenda transformasi digital dan klinikal ini demi menyokong penyampaian perkhidmatan kesihatan yang lebih diperibadikan dan berorientasikan hasil pada masa hadapan. – UTUSAN










