KUALA LUMPUR: Keseimbangan antara keselamatan tenaga, kemampuan kos dan kelestarian perlu terus menjadi keutamaan dalam usaha negara melaksanakan peralihan tenaga secara berperingkat.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff Corporation Berhad, Syahrunizam Tan Sri Samsudin berkata, konsep Trilema Tenaga yang diperkenalkan oleh Majlis Tenaga Dunia kekal relevan, namun cabaran semasa menjadi lebih kompleks berikutan ketidaktentuan geopolitik, perubahan teknologi, tekanan iklim serta perubahan dalam landskap pembiayaan global.
Menurut beliau, sektor tenaga kini berdepan situasi di mana faktor pasaran semata-mata tidak lagi menentukan kos penjanaan elektrik dan pembangunan loji kuasa.
“Sebaliknya, campur tangan dasar negara, perubahan harga bahan api, kos pengangkutan, premium insurans dan kos modal turut memainkan peranan besar.
“Dari perspektif pemaju tenaga swasta, trilema tenaga bukan lagi satu pilihan, tetapi realiti yang perlu diurus setiap hari.
“Kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan rakyat memerlukan keseimbangan antara keselamatan bekalan, kemampuan tarif dan kelestarian alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam dialog mengenai “Melangkaui Trilema: mengurus kerumitan dalam era elektrifikasi” sempena Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon26) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.
Dialog itu turut disertai Pengerusi State Grid International Development Co., Ltd, Yu Jun, Pengarah Asia dan Penasihat Kanan kepada Setiausaha Agung, Majlis Tenaga Dunia, Xiaowei Liu serta Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS), Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid.
Pada masa sama, Syahrunizam berkata, peralihan ke arah tenaga boleh diperbaharui perlu dilakukan secara tersusun tanpa menjejaskan kestabilan sistem bekalan elektrik negara.
Katanya, walaupun tenaga solar, biojisim dan sumber hijau lain terus berkembang, gas asli masih memainkan peranan penting sebagai sumber tenaga yang boleh dihantar secara stabil dan boleh dipercayai.
“Cabaran utama ialah memastikan projek tenaga baharu kekal berdaya maju dalam keadaan harga gas yang tidak menentu serta pulangan pelaburan yang semakin tertekan.
“Oleh sebab itu kerjasama erat antara kerajaan, pengawal selia, institusi kewangan, syarikat insurans, penjana tenaga dan pengendali grid amat penting,” jelasnya.
Syahrunizam berkata, sebagai pemaju peralihan strategik yang bertanggungjawab membina jambatan antara penggunaan bahan api fosil yang lebih bersih dan pembangunan kapasiti tenaga boleh diperbaharui pada masa hadapan.
“Kejayaan agenda peralihan tenaga negara bergantung kepada keupayaan semua pihak untuk memastikan keselamatan bekalan tenaga, mengekalkan tarif yang mampu dibayar pengguna serta mencapai sasaran pengurangan karbon secara serentak,” katanya.
Pandangan tersebut selari dengan aspirasi Pelan Hala Tuju Transformasi Tenaga Negara (NETR) yang menggariskan peralihan tenaga sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi mampan dan daya saing Malaysia dalam jangka panjang. – UTUSAN










