KEJATUHAN harga emas ke paras terendah dalam tempoh lebih enam bulan dijangka merangsang semula permintaan pengguna, terutama dalam kalangan pembeli yang sebelum ini mengambil pendekatan tunggu dan lihat susulan kenaikan mendadak harga logam berharga itu pada awal tahun.
Minggu lalu, harga emas dilaporkan susut lebih 22 peratus berbanding paras tertinggi yang dicatatkan pada Januari, sekali gus mencetuskan persoalan sama ada trend penurunan semasa bakal mendorong peningkatan aktiviti pembelian dalam pasaran tempatan.
Pergerakan harga yang lebih rendah lazimnya memberi rangsangan kepada permintaan runcit kerana pengguna melihat keadaan tersebut sebagai peluang untuk mendapatkan emas pada harga yang lebih kompetitif.
Pengarah Gdora Malaysia, Norazlan berkata, keadaan harga emas yang masih sensitif dengan pergerakan harian sekitar RM10 segram menjadikan kaedah pembelian beransur-ansur atau lebih sesuai diamalkan oleh penyimpan emas.
“Strategi tersebut dilihat membantu pelabur mengelakkan risiko membeli pada paras harga tinggi dalam keadaan pasaran yang masih dipengaruhi faktor ekonomi global, termasuk hala tuju kadar faedah dan sentimen pelabur antarabangsa,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pada masa sama, perhatian pelabur turut tertumpu kepada Rizab Persekutuan (Fed) AS serta data ekonomi negara itu yang menjadi penentu utama sama ada harga emas akan mencatat kenaikan atau penurunan dalam tempoh terdekat.
“Walaupun ketegangan geopolitik semakin meningkat, aliran dana global didapati tidak sepenuhnya beralih kepada emas, sebaliknya masih cenderung kepada dolar AS.
“Situasi ini menunjukkan pasaran ketika ini lebih ‘mengutamakan dolar’ sebagai aset selamat berbanding emas, sekali gus mengurangkan tekanan permintaan terhadap logam berharga itu.
“Faktor geopolitik di Asia Barat sememangnya memberi kesan kepada emas, namun dalam keadaan semasa, pengaruh dolar AS dan dasar Fed dilihat lebih dominan,” katanya.
Beliau berkata, keadaan tersebut turut menjelaskan mengapa harga emas tidak melonjak tinggi walaupun konflik di rantau berkenaan semakin tegang.
Dalam pada itu, pelabur emas disaran melihat kejatuhan harga sebagai peluang jangka panjang dan bukan kebimbangan berlebihan.
“Penurunan harga emas bukan bermakna pasaran berakhir. Ia lebih kepada fasa turun naik biasa dalam kitaran pelaburan,” katanya.
Jelasnya lagi, dalam keadaan konflik global, pasaran kewangan sering memilih dolar AS sebagai aset utama, sekali gus memberi tekanan kepada permintaan emas walaupun sentimen geopolitik meningkat.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Nubex Sdn. Bhd., Mohd. Faizal Mohd. Nor berkata, kejatuhan harga emas hampir 20 peratus daripada paras tertinggi tahun ini membuka peluang kepada pelabur jangka panjang untuk menambah pegangan emas fizikal pada harga lebih rendah.
Katanya, penyusutan tersebut boleh dianggap sebagai peluang ‘diskaun’ bagi pelabur yang berorientasikan simpanan jangka panjang, memandangkan emas kekal sebagai aset lindung nilai dalam ketidaktentuan ekonomi global.
“Bagaimanapun, bagi pelabur yang merancang pembelian dalam jumlah besar, mereka disaran untuk menunggu perkembangan data inflasi Amerika Syarikat (AS) termasuk Indeks Harga Pengguna (CPI) dan Indeks Harga Pengeluar (PPI) yang akan diumumkan dalam tempoh terdekat.
“Langkah itu bagi membolehkan pelabur menilai sama ada harga emas telah menemui paras lantai yang lebih stabil sebelum membuat keputusan pelaburan yang lebih besar,” katanya.
Menurut Mohd. Faizal, penurunan tersebut didorong oleh data ekonomi AS yang lebih kukuh daripada jangkaan, sekali gus mengurangkan kemungkinan Fed melaksanakan pemotongan kadar faedah dalam masa terdekat.
“Data pasaran buruh AS bagi Mei menunjukkan pertambahan pekerjaan yang hampir dua kali ganda lebih tinggi daripada jangkaan pasaran. Pada masa sama, CPI kekal tinggi pada 3.8 peratus, manakala CPI teras berada pada 4.1 peratus, mencerminkan ekonomi AS yang masih berkembang dengan kukuh.
“Perkembangan itu menyebabkan pelabur menilai semula prospek dasar monetari AS, sekali gus memberi tekanan kepada harga emas yang lazimnya mendapat manfaat daripada persekitaran kadar faedah rendah.
“Walaupun mengalami penurunan ketara, kebanyakan penganalisis berpendapat kelemahan semasa tidak menandakan permulaan pasaran menurun (bear market) yang berpanjangan,” katanya.
Menurut beliau, permintaan fizikal terhadap emas kekal kukuh apabila bank-bank pusat di seluruh dunia dilaporkan membeli sebanyak 244 tan metrik emas pada suku pertama 2026.
“Selain itu, beberapa institusi kewangan antarabangsa termasuk J.P. Morgan masih mengekalkan unjuran positif terhadap logam berharga tersebut dengan sasaran mencecah AS$6,000 seauns menjelang akhir tahun,” katanya. – UTUSAN










