Kapten Batik lancar koleksi eksklusif bersama ikon permainan video Tetris - Utusan Malaysia

Kapten Batik lancar koleksi eksklusif bersama ikon permainan video Tetris

Syazwan Asyraf menunjukkan Koleksi Kapten Batik x Tetris Siri Masterpiece semasa majlis pelancaran di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jenama fesyen tempatan, Kapten Batik melakar sejarah tersendiri menerusi pelancaran koleksi kolaborasi merentas sempadan pertamanya bersama ikon permainan video global, Tetris, bagi menyuntik elemen nostalgia era 1990-an ke dalam seni pertukangan batik moden.

Koleksi khas Kapten Batik x Tetris itu menampilkan sembilan rekaan unik yang diterjemahkan kepada 25 rangkaian produk termasuk kemeja artisan, kemeja-T, serta pelbagai aksesori gaya hidup seperti tumbler, beg sandang, kalung kunci dan lanyard.

Pengurus Perkhidmatan Kreatif Kapten Batik, Syazwan Asyraf berkata, kolaborasi ini merupakan satu bentuk penghormatan yang jelas kepada generasi milenial yang membesar dalam era kegemilangan permainan video tersebut.

Menurut beliau, penggabungan dua elemen yang berbeza antara seni tradisional dan permainan video tidak sukar untuk direalisasikan kerana kedua-dua jenama berkongsi falsafah dan bahasa rekaan yang sama iaitu penggunaan elemen ‘blok’.

“Apabila bercakap tentang Tetris, kita bercakap mengenai blok geometri yang dikenali sebagai Tetriminos. Bagi Kapten Batik pula, kami sememangnya mempelopori kaedah cetakan blok tangan dalam penghasilan corak batik kami. Jadi, wujud hubung kait tidak langsung yang membolehkan kami memanipulasi rekaan dengan sangat kreatif.

“Dari segi pemilihan warna, kami tidak menterjemahkannya secara langsung. Sebaliknya, kami mencari titik pertemuan di tengah-tengah bagi menyatukan palet warna asli Tetris dengan warna estetik batik,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran tersebut di sini hari ini.

Tambah Syazwan, koleksi ini turut menerapkan budaya permainan itu sendiri termasuk memaparkan elemen konsol permainan tangan yang sangat popular pada era 90-an untuk menggamit memori peribadi pemakainya.

“Rekaan motif bagi koleksi ini dihasilkan oleh pereka tekstil milenial tempatan, Syahirah dan Sofeana, di bawah hala tuju Ketua Kreatif Kapten Batik, Fadli Muhsin,” katanya.

Motif-motif kontemporari ini diaplikasikan merentasi tiga siri tandatangan Kapten Batik melalui kaedah buatan yang berbeza iaitu Siri Masterpiece yang menggunakan kaedah blok tembaga bersama lilin, Siri Maharaja menggunakan kaedah blok kayu tradisional dan Siri Nusantara yang menggunakan kaedah cetakan digital.

Sementara itu, mengulas mengenai nilai jangka panjang jenama, Syazwan berkata, Kapten Batik sentiasa memfokuskan kepada gaya hidup kontemporari yang tidak hanya bergantung kepada elemen klasik, sekali gus menjadikannya pilihan popular dalam kalangan dewasa bekerja untuk digayakan ke pejabat.

Mengulas mengenai rancangan kolaborasi masa hadapan, beliau berkata, jenama itu bersikap terbuka untuk menerokai pelbagai industri berbeza termasuk sektor kopi mahupun korporat, asalkan berkongsi falsafah yang sama.

Koleksi terhad Kapten Batik x Tetris ini akan berada di pasaran secara eksklusif di semua butik dan dalam talian sehingga akhir Disember 2026. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN