PETALING JAYA: Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) mencatatkan pertumbuhan 8.2 peratus tahun ke tahun pada April 2026, dengan pertumbuhan tertinggi sejak September 2022 disokong oleh pengembangan dalam semua sektor.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, IPP mengekalkan pertumbuhan positif pada April 2026 dengan mencatatkan 8.2 peratus berbanding 3.1 peratus pada Mac 2026.
“Pertumbuhan output dalam sektor pembuatan merupakan penyumbang utama, dengan peningkatan sebanyak 8.3 peratus berbanding 5.5 peratus pada Mac 2026, diikuti oleh pemulihan 6.8 peratus dalam pengeluaran sektor perlombongan berbanding 6.5 peratus pada Mac 2026,” katanya dalam kenyataan.
Pada masa sama, sektor elektrik berkembang 10.5 peratus berbanding 4.8 peratus pada Mac 2026 pada bulan berkenaan.
Mohd. Uzir berkata, walau bagaimanapun, perbandingan bulan ke bulan, IPP mengalami penurunan 3.4 peratus selepas mencatatkan pertumbuhan positif 9.3 peratus pada bulan sebelumnya.
“Kejatuhan ini disebabkan oleh penguncupan dalam sektor pembuatan (-4.4 peratus) dan perlombongan (-1.6 peratus).
“Sementara itu, sektor elektrik bertumbuh sebanyak 2.1 peratus,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, output berorientasikan eksport yang menyumbang dua pertiga daripada sektor pembuatan berkembang sebanyak 8.5 peratus pada April 2026 berbanding 6.7 peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.
“Pengembangan ini disokong terutamanya oleh pembuatan komputer, produk elektronik & optikal yang mengekalkan pertumbuhan dua digit iaitu 14.6 peratus dan diikuti oleh pembuatan kok dan produk petroleum bertapis sebanyak 4.2 peratus.
“Selain itu, pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan turut menyokong pertumbuhan ini dengan mencatatkan 9.3 peratus.
“Pertumbuhan tahun ke tahun ini dicerminkan oleh prestasi eksport barangan perkilangan negara yang meningkat 11.7 peratus pada April 2026,” katanya.
Perbandingan dengan Mac 2026, industri berorientasikan eksport menyusut 8.7 peratus selepas merekodkan positif 11.9 peratus pada bulan sebelumnya.
Pada masa sama, pertumbuhan pengeluaran industri berorientasikan domestik meningkat 8.0 peratus pada April 2026 berbanding 2.8 peratus pada bulan sebelumnya.
Pertumbuhan positif ini dipacu oleh pembuatan kenderaan bermotor, treler dan semi treler yang mencatatkan prestasi memberangsangkan iaitu 13.5 peratus dan pertumbuhan 8.6 peratus dalam pembuatan produk prosesan makanan.
Tambahan pula, terdapat peningkatan dalam pengeluaran ouput pembuatan berkaitan aktiviti pembinaan iaitu pembuatan produk logam yang direka, kecuali mesin dan kelengkapan (5.8 peratus) dan pembuatan produk galian bukan logam lain (6.7 peratus).
Berbanding Mac 2026, industri berorientasikan domestik meningkat 5.3 peratus daripada 1.4 peratus yang direkodkan pada bulan sebelumnya.
Kenaikan 6.8 peratus dalam sektor perlombongan pada April 2026 didorong oleh pertumbuhan kukuh dalam output gas asli iaitu 16.6 peratus berbanding 3.4 peratus pada Mac 2026.
Sementara itu, Mohd. Uzir berkata, pengeluaran minyak mentah dan kondensat merekodkan penurunan 6.4 peratus berbanding 11.3 peratus pada Mac 2026.
“Berbanding bulan sebelumnya, indeks perlombongan berkurang 1.6 peratus selepas mencatatkan pertumbuhan positif 12.3 peratus meningkat pada bulan terdahulu.
“Selain itu, penjanaan elektrik berkembang 10.5 peratus tahun ke tahun pada April 2026 berbanding 4.9 peratus pada Mac 2026,” katanya.
Berasaskan bulan ke bulan, indeks elektrik bertumbuh 2.1 peratus berbanding 12.0 pada Mac 2026.
Di peringkat global, IPP bagi beberapa negara meningkat pada April 2026 termasuk Singapura sebanyak 17.6 peratus, Amerika Syarikat (1.4 peratus) dan Vietnam (9.3 peratus) dengan pertumbuhan lebih perlahan direkodkan di Jepun (2.3 peratus, China (4.1 peratus) Taiwan (14.2 peratus) dan diikuti oleh Korea Selatan (1.5 peratus).
Sebaliknya, Thailand mengalami kemerosotan 0.4 peratus pada bulan ini.
IPP meningkat 5.0 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2025 dengan menunjukkan pengembangan dalam indeks sektor pembuatan pada 6.3 peratus dan indeks elektrik iaitu 6.5 peratus, sementara indeks perlombongan mencatatkan penurunan 0.6 peratus. – UTUSAN









