PETALING JAYA: HSS Holdings Bhd dibuka mendatar pada 18 sen sesaham semasa penampilan sulungnya di Pasaran ACE Bursa Malaysia semalam, sama dengan harga tawaran awam permulaan (IPO).
Kumpulan bakeri itu mempunyai pra-penyenaraian yang kukuh, dengan IPO HSS Holdings terlebih langgan sebanyak 10.56 kali ganda merentasi semua tranche.
Tawaran itu terdiri daripada terbitan awam sebanyak 75 juta saham baharu dan tawaran untuk jualan sebanyak 52.5 juta saham sedia ada pada 18 sen sesaham.
Pada harga IPO, kumpulan itu dinilai pada permodalan pasaran kira-kira RM90 juta, dengan hasil RM13.5 juta yang dikumpul daripada terbitan awam yang diperuntukkan untuk pengembangan, penaiktarafan automasi dan keperluan modal kerja.
Pengarah Pengeluarannya, Joshua Lau Ern Tien berkata, dana yang diperoleh daripada IPO akan digunakan bagi meningkatkan keupayaan pembuatan syarikat melalui pengembangan kapasiti, automasi dan penambahbaikan operasi.
Katanya, syarikat juga akan melaksanakan sistem Perancangan Sumber Perusahaan (ERP) bagi meningkatkan kecekapan operasi, pengurusan inventori dan perancangan sumber di seluruh kumpulan.
“Kami amat teruja dengan sambutan positif pasaran terhadap penyenaraian ini. Ia mencerminkan keyakinan pelabur terhadap model perniagaan bersepadu kami yang merangkumi aktiviti penyumberan, perdagangan dan pembuatan serta potensi pertumbuhan syarikat pada masa depan.
“Menuju ke hadapan, kami akan terus memberi tumpuan kepada pelaksanaan strategi pertumbuhan seperti yang digariskan dalam prospektus, termasuk memperkukuh keupayaan pembuatan melalui pengembangan kapasiti dan automasi serta memperluaskan penawaran produk,” katanya pada sidang media melalui Zoom selepas penyenaraian syarikat itu.
Menurut beliau, HSS Holdings menyasarkan untuk menyiapkan pemasangan kemudahan automasi dan barisan pengeluaran baharu dalam tempoh 12 bulan, dengan projek berkenaan dijangka siap sepenuhnya menjelang 1 Julai 2027.
Joshua berkata, syarikat melihat peluang pertumbuhan yang besar dalam pasaran Asia Tenggara, didorong permintaan terhadap produk halal yang semakin meningkat.
“Produk halal merupakan antara kekuatan utama kami. Produk bakeri Malaysia termasuk kek dan biskut mempunyai penerimaan yang baik di beberapa pasaran seperti Indonesia, Filipina, Thailand dan Asia Barat.
“Justeru, pengembangan eksport akan menjadi antara fokus utama kami pada masa hadapan,” jelasnya,
Beliau berkata, HSS Holdings kini menawarkan kira-kira 6,500 unit penyimpanan stok (SKU) merangkumi kek, biskut, snek dan produk bakeri lain, selain disokong rangkaian pengedaran yang melibatkan antara 8,000 hingga 10,000 premis peruncitan.
Mengenai perancangan membuka cawangan runcit sendiri, Joshua berkata, syarikat belum mempunyai rancangan berbuat demikian buat masa ini kerana masih memberi tumpuan kepada pengukuhan rangkaian pengedaran sedia ada.
“Buat masa ini, kami belum mempunyai perancangan ke arah itu. Namun, ia merupakan sesuatu yang boleh dipertimbangkan pada masa hadapan.
“Malaysia masih merupakan penyumbang terbesar kepada pendapatan kami. Nilai pasaran industri bakeri tempatan dianggarkan sekitar RM23 bilion, menunjukkan masih terdapat ruang pertumbuhan yang besar untuk diterokai,” jelasnya. – UTUSAN










