Harga minyak mentah terus diniagakan bawah AS$80 setong

Harga minyak mentah terus diniagakan bawah AS$80 setong

MINYAK mentah Brent diniagakan sebanyak AS$79.04 (RM320.86) pada setong lewat petang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga minyak mentah global menunjukkan trend penyusutan di bawah AS$80 (RM325.20) setong susulan sentimen positif pasaran terhadap cadangan memorandum persefahaman (MoU) perdamaian yang dijangka ditandatangani antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran Jumaat ini.

Minyak mentah Brent naik sebanyak 0.10 peratus kepada AS$79.04 (RM320.86) setong, sementara minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) meningkat 0.06 peratus kepada AS$76.11 (RM308.97) setong pada lewat petang semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd.,  Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, pelabur dilaporkan optimis persefahaman tersebut akan membuka ruang rundingan yang lebih luas antara kedua-dua negara bagi mencapai persetujuan dalam beberapa isu utama.

Katanya, ini termasuk program nuklear Iran, pembiayaan pembinaan semula infrastruktur negara itu, pembukaan semula laluan perkapalan di Selat Hormuz serta pelaksanaan gencatan senjata di beberapa kawasan konflik termasuk di Lubnan.

“Penurunan harga tersebut mencerminkan jangkaan pasaran bahawa risiko gangguan bekalan tenaga global mungkin berkurangan sekiranya rundingan diplomatik mencapai hasil yang positif,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mohd. Afzanizam berkata, sekiranya MoU tersebut berjaya dimeterai dan dipatuhi oleh semua pihak yang terlibat termasuk Israel, bekalan bahan api serta produk berkaitan seperti aluminium, baja urea dan pelbagai bahan mentah industri lain berpotensi untuk kembali stabil. 

“Keadaan ini dijangka membantu mengurangkan tekanan kos pengeluaran dan rantaian bekalan global,” katanya. 

Selain itu, beliau berkata, penurunan berterusan harga minyak mentah serta pemulihan bekalan bahan api dijangka memberi manfaat kepada kerajaan melalui pengurangan perbelanjaan subsidi tenaga. 

“Langkah ini berpotensi melegakan kedudukan fiskal kerajaan dan pada masa yang sama membantu menstabilkan harga barangan dan perkhidmatan, sekali gus mengurangkan tekanan kos sara hidup yang dihadapi pengguna.

“Walau bagaimanapun, perkembangan sebenar pasaran masih bergantung kepada hasil rundingan yang bakal berlangsung serta tahap pematuhan semua pihak terhadap sebarang persetujuan yang dicapai. Pasaran tenaga global dijangka terus memantau perkembangan ini dengan teliti dalam tempoh beberapa hari akan datang,” katanya.

Harga minyak dunia menjunam hampir lima peratus pada Isnin ke paras terendah dalam tempoh tiga bulan selepas Presiden AS, Donald Trump mengumumkan bahawa AS dan Iran telah MoU bagi menamatkan konflik serta membuka semula Selat Hormuz. 

Pasaran dilihat mengurangkan premium risiko perang yang sebelum ini menyokong kenaikan harga minyak, susulan jangkaan bekalan minyak global akan kembali stabil. 

Perjanjian itu dijadual dimeterai secara rasmi di Geneva pada Jumaat ini, dengan draf perjanjian turut mencadangkan pembukaan semula Selat Hormuz dalam tempoh 30 hari.

Sementara itu, Profesor di Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Datuk Dr. Mustafa Mohd. Hanefah berkata, harga minyak dunia menunjukkan trend penurunan selepas pasaran memberi reaksi positif terhadap perkembangan MoU antara AS dan Iran yang dilihat mampu meredakan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

“Harga minyak dunia dijangka meneruskan aliran penurunan dan berpotensi bergerak dalam lingkungan AS$70 (RM284.03) hingga AS$75 (RM304.31) setong sekiranya perjanjian antara AS dan Iran berjaya dilaksanakan sepenuhnya serta ketegangan geopolitik di Asia Barat terus reda.

“Penurunan tersebut didorong oleh jangkaan bahawa bekalan minyak global akan menjadi lebih stabil sekiranya rundingan antara kedua-dua negara mencapai kemajuan yang memberangsangkan,” katanya.

Menurut Mustafa, penurunan harga minyak mungkin berterusan dalam tempoh terdekat sekiranya pelaksanaan persefahaman itu berjalan lancar. 

“Namun begitu, pasaran masih berhati-hati berikutan ketidaktentuan geopolitik yang berterusan di rantau berkenaan. 

“Sebarang kegagalan dalam pelaksanaan perjanjian atau peningkatan semula ketegangan boleh menyebabkan harga minyak kembali melonjak,” katanya.

Dalam masa yang sama, ujarnya, peningkatan pengeluaran minyak oleh negara-negara pengeluar utama berpotensi membantu menstabilkan bekalan global. 

“Walau bagaimanapun, gangguan terhadap laluan penghantaran utama masih mampu memberi tekanan kepada harga minyak meskipun pengeluaran ditingkatkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×