PETALING JAYA: Harga minyak yang lebih kukuh kini menjadi pemangkin utama kepada Petroliam Nasional Berhad (Petronas) untuk menggerakkan semula pelaburan sektor huluan yang sebelum ini ditangguhkan, sekali gus mengurangkan justifikasi syarikat untuk terus mengambil pendekatan berhati-hati terhadap perbelanjaan modal.
Menurut CIMB Securities Sdn. Bhd., gabungan harga minyak yang tinggi, aliran tunai yang lebih mantap serta rizab tunai yang besar meletakkan Petronas pada kedudukan yang selesa untuk melaksanakan lebih banyak projek strategik dalam kitaran pertumbuhan semasa industri minyak dan gas.
Firm pembrokeran berkata, sebahagian perbelanjaan pelaburan juga boleh diimbangi oleh aliran tunai yang lebih kukuh hasil harga minyak yang tinggi, selain disokong oleh rizab tunai Petronas yang besar.
“Kami melihat faktor berikut sebagai pemangkin yang boleh mendorong perbelanjaan pelaburan oleh Petronas dan syarikat minyak global iaitu ekonomi projek yang lebih baik disokong oleh harga minyak yang lebih tinggi dan mampan.
“Selain itu, risiko terlepas peluang dalam kitaran pertumbuhan semasa serta berdepan tempoh pelaksanaan yang lebih panjang jika pelaburan ditangguhkan dan penyempurnaan proses penstrukturan semula tenaga kerja Petronas yang dimulakan pada 2025,” katanya dalam nota penyelidikan.
CIMB Securities berkata, persekitaran semasa dilihat menyokong pemulihan perbelanjaan pelaburan huluan domestik Petronas, yang seterusnya akan meningkatkan tahap aktiviti industri.
Katanya, gangguan bekalan minyak global baru-baru ini dijangka mengukuhkan lagi fokus Malaysia terhadap keselamatan tenaga, manakala harga minyak dijangka kekal lebih tinggi berbanding 2025, sekali gus meningkatkan daya maju ekonomi pelaburan sektor huluan.
“Walaupun Malaysia merupakan pengeksport bersih tenaga dan kurang terkesan oleh konflik Asia Barat berbanding negara jiran, peningkatan kebergantungan kepada import minyak mentah menimbulkan kebimbangan terhadap kebolehpercayaan bekalan, khususnya jika sumber import datang dari wilayah yang kurang stabil seperti Asia Barat.
“Pengeluaran minyak Malaysia telah menunjukkan trend menurun, menyebabkan negara semakin bergantung kepada import minyak serta menjadikan kedudukan fiskal kerajaan lebih terdedah kepada kejutan luaran.
“Medan minyak yang semakin matang, terutamanya medan cetek, kekal sebagai cabaran utama Malaysia. Namun, harga minyak yang lebih tinggi akan meningkatkan daya maju ekonomi dan kebolehlaksanaan pelaburan di sebahagian daripada medan minyak tersebut,” ujarnya.
Menurutnya, kekangan utama yang masih dihadapi Petronas ialah komitmen tunai susulan pengambilalihan pegangan 50 peratus Saudi Aramco dalam Pengerang Refining Company dan Pengerang Petrochemical Company (PRefChem), selain kemungkinan keperluan pembayaran dividen yang lebih tinggi kepada kerajaan.
“Bagaimanapun, kedua-dua faktor itu adalah cabaran sementara yang boleh diimbangi oleh aliran tunai lebih kukuh daripada harga minyak yang tinggi serta disokong oleh rizab tunai Petronas yang besar,” jelasnya.
CIMB Securities menjangkakan harga minyak mentah Brent kekal disokong oleh usaha pembinaan semula inventori global selepas gangguan bekalan akibat konflik di Asia Barat dan harga Brent diunjurkan pada purata AS$85 (RM353.07) setong bagi separuh kedua 2026 dan AS$80 (RM332.26) setong bagi separuh pertama 2027.
Firma menyatakan terdapat risiko kenaikan harga berpunca daripada kelewatan pemulihan aliran minyak melalui Selat Hormuz, inventori minyak yang rendah di China serta pemulihan pengeluaran minyak Teluk Parsi yang lebih perlahan daripada jangkaan.
“Walaupun Selat Hormuz dibuka semula dalam tempoh terdekat, kehilangan bekalan kumulatif sepanjang konflik dianggarkan melebihi satu bilion tong minyak, manakala proses mengisi semula inventori dan membina semula penampan bekalan boleh mengambil masa lebih setahun,” jelasnya.
CIMB Securities mengekalkan penarafan ‘overweight’ terhadap sektor minyak dan gas, berdasarkan potensi kitaran peningkatan baharu dalam perbelanjaan modal (capex) sektor huluan, manakala penilaian syarikat perkhidmatan medan minyak masih berada pada tahap yang tidak membebankan. – UTUSAN










