Generali Malaysia perkenal pelan insurans mampu milik Gen Sinar

Generali Malaysia perkenal pelan insurans mampu milik Gen Sinar

FABRICE Benard (kanan) bersama Pemangku Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Perniagaan dan Operasi Kumpulan Amanah Raya, Jack Yap pada pelancaran Gen Sinar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Generali Malaysia dengan kerjasama Amanah Raya Berhad (Amanah Raya) melancarkan Gen Sinar, pelan insurans kemalangan diri mampu milik yang direka bagi memperkasa keluarga berpendapatan rendah melalui perlindungan kewangan.

Pelan itu bertujuan memastikan kesinambungan pendidikan anak-anak sekiranya penyara keluarga meninggal dunia atau mengalami hilang upaya kekal akibat kemalangan.

Ketua Pegawai Eksekutif Generali Insurance Malaysia Berhad, Fabrice Benard berkata, Gen Sinar bukan sekadar pelan insurans, sebaliknya satu inisiatif perlindungan sosial berteraskan matlamat yang dibangunkan menerusi model bukan berasaskan keuntungan.

Beliau berkata, inisiatif itu lahir daripada kepercayaan bahawa pendidikan merupakan kunci untuk memutuskan kitaran kemiskinan dalam masyarakat.

“Kami berkongsi aspirasi komuniti dan percaya bahawa pendidikan ialah kunci dalam memutuskan kitaran kemiskinan.

“Dengan menjadikan perlindungan lebih mudah diakses oleh keluarga kurang berkemampuan, kami berhasrat memastikan anak-anak mereka dapat meneruskan pendidikan walaupun berdepan situasi yang mencabar,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, Gen Sinar diwujudkan bagi membantu melindungi masa depan kanak-kanak melalui sokongan pendidikan yang berterusan, selaras dengan The Human Safety Net (THSN), gerakan global Generali yang komited memperkasa komuniti rentan.

“Gen Sinar menyediakan sokongan kewangan yang praktikal kepada keluarga yang berdepan situasi tidak dijangka.

“Pelan ini ditawarkan pada kadar serendah RM91.28 bagi tahun pertama dan RM59.40 bagi tahun-tahun berikutnya, termasuk duti setem, kos penyerahan mutlak, surat ikatan amanah serta cukai perkhidmatan lapan peratus.

“Sekiranya penyara keluarga meninggal dunia atau mengalami hilang upaya kekal akibat kemalangan, pelan ini menyediakan manfaat bayaran sekali gus sebanyak RM20,000 bagi membantu meringankan beban kewangan keluarga.

“Selain itu, setiap anak layak menerima elaun pendidikan bulanan sebanyak RM250 sehingga berusia 18 tahun dengan jumlah manfaat keseluruhan sehingga RM100,000,” katanya.

Dalam pada itu, Gen Sinar turut menawarkan manfaat rundingan teleperubatan percuma bagi isu kesihatan fizikal dan mental untuk membantu komuniti kurang berkemampuan mendapatkan akses awal kepada nasihat perubatan.

Melalui kemudahan tersebut, peserta dan ahli keluarga mereka boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada pengamal perubatan bertauliah menerusi panggilan telefon atau video.

Kemudahan itu menyediakan sehingga dua sesi rundingan setahun dengan nilai manfaat sehingga RM60 bagi setiap sesi, sekali gus memperluas akses kepada perkhidmatan kesihatan yang lebih mudah dan mampu milik.

Semua manfaat pendidikan di bawah Gen Sinar akan diuruskan oleh Amanah Raya selaku pemegang amanah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN