PETALING JAYA: Gas Malaysia Berhad, sebahagian daripada MMC Group memeterai Perjanjian Pembangunan Bersama (JDA) dengan Tokyo Gas Co., Ltd. dan VTTI B.V. bagi membangunkan Terminal Regasifikasi (RGT) Gas Asli Cecair (LNG) di Yan, Kedah melibatkan pelaburan antara RM2 bilion hingga RM3 bilion.
Projek itu dijangka menjadi pintu masuk LNG baharu di utara Semenanjung Malaysia sekali gus memperkukuh keselamatan tenaga negara, mempelbagaikan sumber bekalan gas dan meningkatkan fleksibiliti sistem bekalan untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat daripada sektor perindustrian serta penjanaan kuasa.
Terminal Regasifikasi Yan (RGT Yan) akan dibangunkan sebagai Unit Penyimpanan dan Regasifikasi Terapung (FSRU) luar pesisir berhampiran Pulau Bunting, Yan, dengan kapasiti sehingga enam juta tan setahun (MTPA).
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Gas Malaysia, Azli Mohamed berkata, pemeteraian perjanjian itu menandakan langkah penting dalam usaha syarikat memperluaskan peranannya dalam rantaian nilai LNG.
“Kerjasama dengan pemain global seperti Tokyo Gas dan VTTI membolehkan kami memanfaatkan kepakaran antarabangsa dan amalan terbaik industri sambil memastikan projek ini sejajar dengan k agenda tenaga nasional Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Di bawah kerjasama tersebut, Gas Malaysia akan bertindak sebagai peneraju projek dengan bekerjasama rapat bersama Tokyo Gas dan VTTI, memanfaatkan kekuatan masing-masing di sepanjang rantaian nilai LNG.
Gas Malaysia membawa pengetahuan mendalam mengenai pasaran domestik serta pengalaman dalam pembangunan infrastruktur, manakala Tokyo Gas menyumbang kepakaran luas dalam perolehan LNG dan proses regasifikasi.
VTTI pula menawarkan rekod prestasi global yang kukuh dalam pembangunan dan operasi terminal tenaga.
Susulan pengeluaran Surat Kebenaran Untuk Meneruskan oleh Suruhanjaya Tenaga pada Mac 2026, projek itu kini memasuki fasa pembangunan seterusnya yang merangkumi kerja-kerja teknikal, komersial dan kawal selia sebelum mencapai Keputusan Pelaburan Akhir (FID).
Sementara itu, Wakil Naib Presiden Eksekutif Korporat dan Ketua Eksekutif Syarikat Perniagaan Luar Negara Tokyo Gas, Kasutani Toshihide berkata, syarikat itu telah bekerjasama rapat dengan Gas Malaysia sejak penubuhannya pada tahun 1992 bagi menyokong pembangunan industri gas negara.
“Dengan memanfaatkan kepakaran kami dalam operasi terminal LNG di Jepun serta pengalaman melalui penyertaan dalam projek FSRU di Filipina, syarikat berharap dapat bekerjasama dengan Gas Malaysia dan VTTI untuk menyumbang kepada pembangunan rantaian nilai LNG dan gas di Malaysia,” ujarnya.
Naib Presiden Eksekutif Pertumbuhan VTTI, Tom Smeenk pula berkata, RGT Yan menyokong strategi syarikat untuk membangunkan platform terminal LNG global dan mengukuhkan keselamatan bekalan ketika Malaysia meneruskan liberalisasi pasaran gas.
“Malaysia merupakan negara yang penting bagi VTTI dan kami berharap dapat menyokong daya tahan tenaga serta pertumbuhan jangka panjang negara,” katanya.
Apabila siap kelak, RGT Yan dijangka memperkukuh keselamatan tenaga Malaysia, menyokong pertumbuhan ekonomi di wilayah utara serta meningkatkan ketahanan sistem bekalan gas nasional.
Projek itu turut mengukuhkan transformasi berterusan Gas Malaysia daripada sebuah pengedar gas domestik kepada pemain strategik infrastruktur tenaga, sejajar dengan visi GM32 untuk memacu pertumbuhan jangka panjang sambil menyokong agenda peralihan tenaga negara yang lebih luas. – UTUSAN










