PETALING JAYA: Enest Group Berhad (Enest) menyasarkan menjana RM15.11 juta melalui Tawaran Awam Permulaan (IPO) pada harga 13 sen untuk penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Securities).
Hasil terkumpul itu akan diperuntukan pembayaran balik pinjaman bank (RM5 juta), modal kerja (RM6.41 juta) serta pembayaran perbelanjaan penyenaraian (RM3.70 juta).
Pengarah Urusan Enest, Tan Teh Jie berkata, pelancaran prospektus itu menandakan satu peristiwa penting dalam perjalanan korporat Enest ketika kumpulan mengambil langkah seterusnya ke arah pemindahan penyenaraian ke Pasaran ACE.
“Sejak awal penubuhan kami, kami telah mengembangkan keupayaan, jangkauan pelanggan dan kehadiran pasaran kami secara berterusan dalam industri sarang burung yang boleh dimakan.
“Melalui IPO ini, syarikat menyasarkan untuk mengukuhkan kunci kira-kira, meningkatkan kedudukan modal kerja dan menyokong fasa pertumbuhan seterusnya untuk perniagaan,” katanya dalam kenyataan.
IPO itu terdiri daripada terbitan awam sebanyak 116.25 juta saham biasa baharu, mewakili 20 peratus daripada modal saham terbitan Enest yang diperbesarkan sebanyak 581.25 juta saham.
Ia turut merangkumi tawaran jualan sebanyak 15.05 juta saham sedia ada, mewakili kira-kira 2.6 peratus daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan
Enest telah berkembang menjadi pemain yang mantap dalam industri sarang burung yang boleh dimakan sejak 2015.
Kumpulan itu terlibat terutamanya dalam pemprosesan dan penjualan sarang burung yang boleh dimakan mentah dan bersih serta perdagangan sarang burung.
Ia turut merangkumi penjualan produk sarang burung yang diproses untuk pelanggan seperti pengedar, pengimport, syarikat pemprosesan sarang burung dan peruncit dengan China sebagai pasaran terbesarnya.
Selain operasi terasnya untuk memproses sarang burung, Enest juga menjual sarang burung dalam botol dan minuman kesihatan dan mengendalikan perniagaan runcit kesihatan dan penjagaan diri di bawah nama dagangan ‘Kang LI’.
Melangkah ke hadapan, beliau berkata, Enest berhasrat untuk mengukuhkan trajektori pertumbuhannya melalui penubuhan kemudahan baharu di Kajang untuk menjalankan pengeluaran dalaman sarang burung dalam botol dan minuman herba lain dengan kapasiti maksimum tahunan kira-kira 300,000 botol.
“Pada masa yang sama, Enest berhasrat untuk meluaskan pangkalan pelanggannya di China.
“Ini terutamanya dalam kalangan pengeluar yang terlibat dalam perubatan tradisional Cina dan produk kesejahteraan, di samping mengembangkan eksport sarang burung mentah yang tidak bersih ke China,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan M & A Equity Holdings Berhad, Datuk Bill Tan berkata, Enest telah membina kedudukan yang kukuh dalam industri sarang burung yang boleh dimakan di Malaysia melalui keupayaan pemprosesan, pengalaman eksport dan akses ke pasaran China.
“Dengan kehadirannya merentasi pelbagai segmen rantaian nilai EBN, kumpulan berada pada kedudukan yang baik untuk meneruskan fasa pertumbuhan seterusnya sebagai sebuah syarikat yang disenaraikan di Pasaran ACE,” ujarnya.
M & A Securities Sdn. Bhd. ialah penasihat, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk IPO itu. – UTUSAN










