DXN labur RM140 juta bina hab nutraseutikal terbesar negara - Utusan Malaysia

DXN labur RM140 juta bina hab nutraseutikal terbesar negara

MUHAMMAD Sanusi (tengah) melakukan gimik pelancaran pada Majlis Pecah Tanah Kemudahan Pembuatan Nutraseutikal Terbesar di Malaysia di Bukit Kayu Hitam, Kedah, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: DXN Holdings Bhd. (DXN) melabur RM140 juta bagi membangunkan kemudahan pembuatan nutraseutikal terbesar di Malaysia di Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Fasa pertama pembangunan itu melibatkan pembinaan ruang binaan seluas kira-kira 300,000 kaki persegi di atas tapak seluas 10.76 hektar yang dipajak daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK).

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pelaburan tersebut bakal mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti kepada rakyat negeri itu selain mengukuhkan kedudukan Kedah sebagai destinasi perindustrian utama di Koridor Utara.

Katanya, pelaburan itu turut mencerminkan keyakinan berterusan syarikat bertaraf dunia terhadap Kedah sebagai pangkalan operasi global.

“DXN telah menjadi rakan strategik Kedah selama lebih 20 tahun dan hari ini kerjasama tersebut memasuki satu lagi fasa penting.

“Pembinaan kilang nutraseutikal terbesar di Malaysia di Kedah merupakan satu kebanggaan besar buat negeri kami,” katanya dalam kenyataan.

Hab pembuatan bersepadu itu akan menempatkan tujuh blok pengeluaran, 10 kemudahan gudang serta sebuah pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) khusus, sekali gus menjadikannya kemudahan terbesar DXN di dunia dan antara kompleks pembuatan nutraseutikal terbesar di Malaysia.

Pengeluaran dijadual bermula pada Mac 2028 melibatkan 118 unit penyimpanan stok (SKU) dalam kategori kopi, makanan dan minuman (F&B) serta jus.

Fasa pembangunan seterusnya akan menyokong pengembangan ke segmen bernilai tinggi termasuk kosmetik, penjagaan diri dan farmaseutikal.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif dan Pengasas DXN, Datuk Lim Siow Jin berkata, daya tahan industri nutraseutikal dan sektor kesejahteraan global menjadi pemacu utama pelaburan tersebut.

Menurutnya, hasil DXN berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 15.4 peratus dalam tempoh tiga tahun lalu, manakala tahun kewangan 2025 merekodkan pencapaian tertinggi dalam sejarah syarikat dari segi hasil, keuntungan bersih dan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA).

“Pertumbuhan itu telah melebihi kapasiti pengeluaran sedia ada kami. Bukit Kayu Hitam merupakan langkah strategik untuk menyokong pertumbuhan DXN bagi dekad akan datang menerusi pembinaan tujuh blok pengeluaran dan sebuah pusat R&D khusus.

“Ia bukan sekadar sebuah kilang, sebaliknya hab pembuatan, logistik dan inovasi yang direka untuk meningkatkan kecekapan operasi serta memperkukuh keupayaan DXN memenuhi permintaan pasaran global dengan lebih fleksibel dan berdaya tahan,” katanya.

Bukit Kayu Hitam merupakan projek utama di bawah Strategi Pembuatan Global DXN yang menyasarkan pembinaan 21 kilang di empat benua menjelang 2028.

Kemudahan tersebut akan menjadi komponen utama ekosistem pembuatan DXN di Malaysia bersama kompleks sedia ada di Jitra serta kemudahan di Gua Musang, Kelantan yang kini dalam pembangunan.

Secara kolektif, kluster bersepadu itu dijangka membekalkan sebahagian besar portfolio SKU global DXN kepada kira-kira 22 juta pengguna berdaftar di lebih 180 negara.

Pada masa sama, kemudahan serantau baharu di Peru, Bolivia, Maghribi, Arab Saudi dan Brazil akan memenuhi keperluan pasaran tempatan masing-masing.

Pelaburan RM140 juta itu akan dibiayai menerusi kemudahan pembiayaan luaran yang disokong oleh kedudukan kewangan kukuh kumpulan, termasuk lembaran imbangan tanpa hutang bersih serta nisbah hutang kepada ekuiti sekitar 0.15 kali. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN