Dapur Brahim's lancar bufet RM10 di Randau Rasa, UKM

Dapur Brahim’s lancar bufet RM10 di Randau Rasa, UKM

FEIZAL Nor Nurbi (kiri) pada Majlis Pelancaran Buffet RM10 Dapur Brahim's, di UKM, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Dapur Brahim’s by Desatera Sdn. Bhd. melancarkan Buffet RM10 yang menawarkan lebih 30 pilihan menu makan tengah hari berkualiti pada harga mampu milik kepada pelajar, kakitangan, komuniti setempat dan orang awam di Randau Rasa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), semalam.

Mengangkat slogan ‘Cedok puas-puas, bayar RM10 je!’, bufet itu mengetengahkan konsep layan diri dengan pelbagai hidangan tempatan pada harga RM10 seorang.

Ketua Pegawai Eksekutif Desatera Sdn. Bhd., Datuk Feizal Nor Nurbi berkata, inisiatif tersebut diperkenalkan bagi menyediakan pilihan makanan berpatutan tanpa menjejaskan aspek kualiti, kepelbagaian menu dan kepuasan pelanggan.

Katanya, pihaknya memahami cabaran kos sara hidup yang menyebabkan pengguna semakin berhati-hati dalam perbelanjaan harian, termasuk untuk makanan.

“Melalui Buffet RM10 ini, kami mahu menawarkan pilihan makan tengah hari yang mampu milik kepada pelajar, kakitangan universiti dan komuniti setempat tanpa mengorbankan aspek nilai serta kepelbagaian hidangan.

“Di Dapur Brahim’s, kami percaya makanan yang enak dan berkualiti seharusnya dapat dinikmati oleh semua. Inisiatif ini mencerminkan komitmen kami untuk terus berkhidmat kepada komuniti sambil menawarkan pengalaman menjamu selera yang berteraskan kualiti, cita rasa dan layanan terbaik,” katanya selepas Majlis Pelancaran Buffet RM10 Dapur Brahim’s.

Menurut beliau, bufet tersebut beroperasi setiap Isnin hingga Jumaat bermula pukul 11 pagi secara masuk terus (walk-in) dan makan di premis tanpa tempahan awal serta tidak menyediakan perkhidmatan bungkus.

Walaupun beroperasi di dalam kampus UKM, buffet berkenaan turut dibuka kepada orang awam khususnya dari sekitar Lembah Klang yang mencari pilihan makan tengah hari berkualiti pada harga berpatutan.

Feizal berkata, harga promosi RM10 itu akan dikekalkan sehingga hujung tahun ini dengan sasaran kira-kira 170 pelanggan sehari.

“Bagaimanapun, untuk tahun depan saya tidak berani memberi jaminan kerana harga bahan mentah sentiasa berubah.

“Saya juga tidak mahu mengekalkan harga tetapi mengurangkan kuantiti atau kualiti makanan. Jika matlamat kita adalah membantu pelajar dan golongan B40, biarlah ia dilaksanakan dengan betul supaya manfaatnya dapat dinikmati bersama,” katanya.

Antara hidangan yang ditawarkan termasuk ayam masak sambal, ayam masak lemak cili padi, daging tetel asam pedas, ikan kembung masak kari, ikan mata besar goreng belado, pelbagai jenis sayur-sayuran, pilihan tauhu dan tempe, ulam-ulaman serta aneka sambal.

Dalam perkembangan sama, Dapur Brahim’s turut memperkenalkan lima pilihan set makanan menerusi program TAPAOTW pada harga RM10.50 setiap satu iaitu set nasi ayam, set nasi Nusantara, set gulai lemak daging cili padi, set nasi minyak dan set ayam kicap pedas.

Feizal berkata, program yang diperkenalkan pada 11 Jun lalu itu diwujudkan bagi memenuhi permintaan pelanggan yang memerlukan perkhidmatan penghantaran makanan ke rumah atau tempat kerja.

Katanya, program tersebut telah menyumbang kepada peningkatan jualan hampir tiga kali ganda sejak dilancarkan.

“Kami melihat permintaan yang menggalakkan daripada suri rumah, pekerja pejabat, pelajar serta penduduk sekitar Bangi dan Kajang yang memerlukan perkhidmatan penghantaran makanan.

“Ketika ini, kami menawarkan lima set menu dengan set gulai lemak daging cili padi muncul sebagai pilihan paling mendapat sambutan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×