CIMB lancar khidmat nasihat bantu PKS percepat penyahkarbonan - Utusan Malaysia

CIMB lancar khidmat nasihat bantu PKS percepat penyahkarbonan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: CIMB Bank Berhad dan CIMB Islamic Bank Berhad melancarkan Khidmat Nasihat Gas Rumah Hijau (GHG) bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat pertengahan (MTC) mempercepat usaha penyahkarbonan dan meningkatkan daya tahan perniagaan jangka panjang.

Perkhidmatan baharu di bawah platform GreenBizReady™ itu bertujuan membantu syarikat mengukur, mengurus dan mengurangkan pelepasan karbon mereka, selain memenuhi keperluan pelaporan kemampanan yang semakin ketat.

Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Perbankan Komersial Kumpulan CIMB, Ahmad Shazli Kamarulzaman berkata, banyak syarikat menyedari keperluan mengukur pelepasan karbon, namun berdepan cabaran dari segi kerumitan teknikal dan kos pematuhan.

“Khidmat Nasihat GHG ini membantu menterjemahkan keperluan iklim dan pelepasan karbon yang kompleks kepada tindakan praktikal berasaskan keperluan perniagaan dengan panduan serta alat khusus mengikut sektor.

“Kami juga membantu pelanggan mengenal pasti peluang meningkatkan kecekapan operasi, menjimatkan kos dan memperkukuh pertumbuhan perniagaan melalui inisiatif penyahkarbonan.

“Selaras dengan strategi Forward30 kami, kami komited untuk menjadikan peralihan kepada ekonomi rendah karbon lebih mudah diakses dan dilaksanakan oleh perniagaan, sambil memperkasakan mereka untuk membina daya tahan serta daya saing jangka panjang,” katanya dalam kenyataan.

Langkah itu selaras dengan pelaksanaan Rangka Kerja Pelaporan Kemampanan Nasional (NSRF) yang mewajibkan syarikat tersenarai dan tidak tersenarai dengan hasil tahunan RM2 bilion ke atas melaksanakan pendedahan berkaitan iklim, termasuk pelepasan Skop 3 dalam rantaian bekalan.

Pada masa sama, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) turut mencadangkan keperluan pendedahan mandatori pelepasan GHG Skop 1 dan Skop 2 bagi syarikat tidak tersenarai, termasuk yang mencatat hasil tahunan melebihi RM15 juta.

Beliau berkata, pendekatan yang digunakan memberi penekanan kepada penjimatan kos melalui penyelesaian seperti kecekapan tenaga, pengoptimuman operasi, pemasangan sistem solar dan bateri serta amalan ekonomi kitaran.

Menurutnya, langkah tersebut bukan sahaja mengurangkan pelepasan karbon, malah membantu menurunkan kos operasi, meningkatkan produktiviti dan mengukuhkan daya saing syarikat.

Pelanggan yang melaksanakan penambahbaikan yang dikenal pasti boleh mendapatkan pembiayaan melalui Kemudahan Pembiayaan Berkaitan Kemampanan (SLF).

Menerusi kemudahan itu, pelanggan yang mencapai sasaran pengurangan pelepasan GHG yang ditetapkan berpeluang menikmati rebat pembiayaan sehingga 0.50 peratus setahun.

CIMB turut memperuntukkan RM3 bilion sehingga 2030 bagi program SLF dengan matlamat memperluaskan akses pembiayaan mampan kepada PKS dan syarikat pertengahan.

Bank itu menyasarkan untuk menggerakkan RM300 bilion pembiayaan mampan menjelang 2030, selain memperluaskan penawaran dalam bidang khidmat nasihat kemampanan, pembiayaan karbon dan pembiayaan berasaskan alam semula jadi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN