BARU-BARU ini, penulis berpeluang memandu uji BYD Seal facelift baharu dari Pulau Pinang menuju ke Lembah Klang selepas menghadiri pelancaran bilik pameran BYD Mansion Macalister di George Town sehari sebelumnya.
Perjalanan bermula dari Hotel The Prestige, Pulau Pinang pada Sabtu 16 Mei sekitar jam 10.15 pagi. Ketika bergerak keluar hotel, kapasiti bateri menunjukkan 97 peratus dengan anggaran jarak perjalanan pada meter kluster sekitar 529 kilometer (km).
Destinasi akhir perjalanan kali ini ialah showroom BYD Ara Damansara di Kuala Lumpur, memberi peluang untuk melihat sendiri bagaimana BYD Seal facelift ini berdepan perjalanan ‘interstate’ sebenar menggunakan lebuh raya utama negara.
Sejujurnya, sebelum memulakan perjalanan jauh ini penulis agak skeptikal juga. Walaupun angka jarak kenderaan elektrik (EV) di atas kertas nampak cantik, realiti penggunaan lebuh raya di Malaysia biasanya jauh berbeza terutama bila melibatkan kelajuan ‘cruising’ tinggi, cuaca panas dan penggunaan pendingin hawa hampir sepanjang masa.
Namun perjalanan kali ini agak membuka mata.
Suspensi ikut cara pemanduan
Apa yang paling cepat dirasakan ialah talaan suspensi baharu dengan sistem BYD DiSus-C Intelligent Damping Body Control System.
Sistem suspensi aktif ini memang memberi perbezaan ketara terutama ketika melalui permukaan jalan tidak rata di Lebuhraya Utara Selatan. Badan kereta masih stabil ketika dipandu laju, tetapi pada masa sama tidak terlalu keras seperti kebanyakan EV berprestasi lain.
Untuk sebuah sedan EV yang mampu memecut 0-100 kilomter sejam (km/j) sepantas 3.8 saat bagi varian Performance, tahap keselesaan yang ditawarkan sebenarnya agak mengejutkan.
Sepanjang perjalanan, kabin BYD Seal juga terasa sangat senyap. Ini mungkin dibantu penggunaan double glazed soundproof glass pada cermin depan dan tingkap hadapan.
Bila dipandu sekitar 110 hingga 120 km/j, bunyi tayar dan angin memang minimum. Kalau pasang muzik perlahan pun masih jelas kedengaran tanpa perlu kuatkan volume.
Selain itu, talaan suspensi baharu pada facelift ini juga membuatkan kereta terasa lebih yakin ketika dipandu jauh. Suspensi masih cukup lembut untuk kegunaan harian, tetapi apabila kelajuan meningkat, badan kereta kekal stabil tanpa rasa melambung berlebihan.

Karakter sports sedan masih kuat
Satu perkara menarik tentang BYD Seal ialah posisi pemanduannya. Kedudukan tempat duduk yang rendah memberi rasa seperti memandu sports sedan, manakala stereng pula terasa lebih terus dengan jalan berbanding kebanyakan EV China lain yang kadang-kadang terlalu ringan atau terlalu artificial.
Menariknya, perjalanan pergi ke Pulau Pinang sebelum acara ini dilakukan menggunakan BYD Sealion 7. Secara keseluruhan, kenderaan utiliti sukan (SUV) itu memang sudah cukup selesa untuk perjalanan jauh. Namun selepas memandu pulang menggunakan BYD Seal AWD, barulah perbezaan karakter kedua-dua model ini lebih mudah dirasai.
Pada kelajuan tinggi, BYD Seal AWD terasa jauh lebih stabil dan meyakinkan. Badan kereta lebih melekat di atas jalan terutama ketika melayan selekoh panjang di lebuh raya. Berbeza dengan Sealion 7 yang masih mempunyai sedikit body roll ketika menukar lorong atau mengambil selekoh pada kelajuan tinggi.
Perkara itu sebenarnya tidak mengejutkan memandangkan Sealion 7 ialah sebuah SUV dengan titik graviti lebih tinggi, manakala BYD Seal AWD pula dibangunkan sebagai sedan performance yang lebih rendah dan lebih fokus kepada pengendalian.
Model yang dipandu penulis ialah varian AWD Performance, jadi karakter pemanduannya memang jauh lebih agresif dan bertenaga berbanding varian biasa. Kuasa dihantar ke keempat-empat roda dengan sangat pantas, membuatkan respon pedal throttle terasa segera terutama ketika memotong di lebuh raya.
Walaupun berat bateri EV memang tidak dapat dielakkan, BYD Seal AWD ini berjaya ‘menyembunyikan’ berat badan kereta itu dengan agak baik. Ketika memasuki selekoh panjang atau menukar lorong pada kelajuan tinggi, casisnya terasa yakin dan planted.
Bila tekan pedal secara agresif, pecutan dia memang terasa ganas untuk sebuah sedan harian. Tidak hairanlah varian ini mampu memecut 0-100 km/j dalam hanya 3.8 saat.
Perjalanan pulang ke Kuala Lumpur juga memperlihatkan bagaimana BYD Seal sesuai dijadikan kereta harian untuk perjalanan jauh.
Penggunaan Tenaga Masih Meyakinkan
Dari segi penggunaan tenaga pula, angka yang dicatatkan boleh dianggap agak impressif untuk perjalanan jauh.
Walaupun meter pada awal perjalanan menunjukkan kemampuan perjalanan sehingga 529 km dan jarak dari Hotel The Prestige ke BYD Ara Damansara hanya sekitar 354 km, penulis tetap membuat keputusan berhenti di R&R Tapah untuk mengecas semula bateri.
Ketika tiba di lokasi pengecas, baki bateri masih berada pada 47 peratus dengan anggaran jarak perjalanan sekitar 244 km. Secara teori, angka tersebut sebenarnya masih mencukupi kerana baki perjalanan ke BYD Ara Damansara hanyalah sekitar 147 km lagi.
Namun untuk perjalanan jauh menggunakan EV, faktor “buffer” bateri masih penting terutama jika berlaku kesesakan trafik, perubahan cuaca atau kesukaran mendapatkan pengecas yang kosong di hentian seterusnya.
Apa yang menarik, walaupun perjalanan jauh seperti ini biasanya membuatkan pemandu EV lebih kerap memeriksa baki bateri atau lokasi pengecas, pengalaman bersama BYD Seal sebenarnya terasa jauh lebih relaks berbanding jangkaan awal penulis.
Itu sebenarnya satu daripada kekuatan utama BYD Seal.
Kereta ini berjaya membuatkan pemandu rasa normal seperti memandu kereta petrol biasa. Masuk lebuh raya, pandu dan teruskan perjalanan tanpa banyak kompromi.
Namun begitu, hakikat yang masih perlu diterima bagi perjalanan jarak jauh menggunakan EV di Malaysia ialah jumlah stesen pengecas arus terus (DC) di kawasan R&R lebuh raya masih perlu dipertingkatkan.
Sepanjang perjalanan pulang ini, penulis sendiri terpaksa menunggu hampir satu jam untuk mendapatkan giliran mengecas walaupun ketika itu bukan musim cuti panjang atau perayaan. Selepas berjaya mendapatkan slot pengecasan, proses mengecas dari 47 peratus hingga sekitar 75 peratus pula mengambil masa kira-kira 30 minit.
Situasi seperti ini menunjukkan penggunaan EV untuk perjalanan jauh kini memang semakin praktikal, tetapi infrastruktur pengecasan pantas di lebuh raya masih perlu berkembang lebih agresif bagi menyokong pertambahan jumlah EV di atas jalan raya.
Tambahan pula, kemampuan pengecasan pantas DC serta jaringan poin pengecas yang semakin berkembang membuatkan penggunaan EV seperti BYD Seal kini jauh lebih praktikal untuk perjalanan jauh.
Bagi perjalanan jauh seperti Pulau Pinang ke Kuala Lumpur, faktor keselesaan dan kestabilan sebenarnya lebih penting berbanding sekadar kuasa tinggi semata-mata. Dalam aspek itu, BYD Seal AWD berjaya memberikan keseimbangan yang sangat baik antara prestasi dan keselesaan.
Lebih banyak penambahbaikan untuk facelift baharu
Facelift baharu ini turut menerima beberapa penambahbaikan menarik seperti Digital Key NFC + Bluetooth, electric sunshade untuk panoramic roof, brake caliper merah baharu serta sokongan Apple CarPlay dan Android Auto wireless.
BYD juga kini menawarkan warna baharu Shark Grey selain Cosmos Black, Aurora White dan Atlantis Grey.
Selain itu, BYD turut mengekalkan beberapa elemen premium yang sudah menjadi identiti Seal seperti panoramic glass roof, electronic hidden door handles, tailgate elektrik serta cermin sisi dengan fungsi auto-tilt dan memory.
Kemasan dalaman juga masih terasa moden dan premium, terutama dengan rekaan dashboard minimalis serta skrin infotainmen besar yang menjadi identiti BYD sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Masih antara EV paling berbaloi dalam pasaran
Dari sudut value for money, ini antara sebab utama BYD Seal masih sangat kuat dalam pasaran Malaysia.
Untuk harga sekitar RM171,800 bagi varian Premium dan RM191,800 bagi varian AWD Performance di Semenanjung Malaysia, pakej yang ditawarkan memang sukar dilawan.
Tambahan pula BYD turut menawarkan waranti kenderaan sehingga enam tahun atau 150,000 km, manakala bateri Blade Battery dilindungi waranti lapan tahun atau 160,000 km.
Selepas menghabiskan perjalanan jauh ini, penulis boleh memahami kenapa ramai pemilik BYD Seal sangat setia dengan kereta mereka.
Ia laju, selesa, pengendalian yang sedap, teknologi lengkap dan paling penting tidak terasa terlalu complicated untuk digunakan setiap hari.
Kalau mahu mencari sebuah EV sedan bawah RM200,000 yang benar-benar seimbang dari semua aspek, BYD Seal facelift ini memang antara benchmark paling kuat dalam pasaran sekarang. – UTUSAN










