Bank Islam sasar transaksi menerusi kerjasama ERL naik 10 peratus tahun ini - Utusan Malaysia

Bank Islam sasar transaksi menerusi kerjasama ERL naik 10 peratus tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) menjangkakan jumlah nilai transaksi menerusi kerjasamanya dengan Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) meningkat 10 peratus menjelang akhir 2026, didorong pertumbuhan berterusan penggunaan kad dalam kalangan pelanggan pengangkutan rel itu.

Bank Islam berkata, kerjasama yang bermula sejak 2019 itu membolehkan pemegang Kad Kredit-i dan Kad Debit-i Bank Islam menikmati diskaun 20 peratus bagi pembelian tiket ERL, sekali gus menggalakkan penggunaan pembayaran tanpa tunai dalam kalangan pengguna perkhidmatan KLIA Ekspres dan KLIA Transit.

Katanya, perbelanjaan menggunakan kad Bank Islam bagi transaksi ERL meningkat 63 peratus pada 2024 dan 36 peratus pada 2025, manakala jumlah transaksi masing-masing bertambah 75 peratus dan 31 peratus dalam tempoh yang sama.

Ketua Pegawai Perniagaan Perbankan Runcit Bank Islam, Mizan Masram berkata, kerjasama tersebut bukan sahaja menyumbang kepada pertumbuhan perniagaan malah membantu mewujudkan pengalaman perjalanan yang lebih lancar dan mudah kepada pengguna.

“Dengan mengintegrasikan perkhidmatan perbankan dan pengangkutan, Bank Islam terus memainkan peranan menjadikan perjalanan lebih mudah dan bermanfaat. Kami mahu setiap perjalanan memberikan nilai tambah kepada pelanggan.

“Melalui kerjasama ini, kami menggalakkan pelanggan untuk terus menggunakan kad Bank Islam mereka bersama ERL dan menikmati penjimatan serta ganjaran yang ditawarkan,” katanya dalam satu kenyataan.

ERL menerusi perkhidmatan KLIA Ekspres menyediakan perkhidmatan rel berkelajuan tinggi yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),.

Sementara itu, KLIA Transit berfungsi sebagai rangkaian pengangkutan harian bagi pengguna yang berulang-alik dari koridor selatan ke ibu negara melalui hab utama seperti Bandar Tasik Selatan dan Putrajaya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Datin Raja Teh Maimunah Raja Abdul Aziz berkata, bank akan terus memperkenalkan inovasi dan kerjasama strategik yang mampu memberikan nilai jangka panjang kepada pelanggan dan masyarakat.

“Bank Islam komited untuk menjadikan pengalaman harian pelanggan lebih bermakna dengan penyediaan penyelesaian yang mudah, relevan dan bermatlamat.

“Melangkah ke hadapan, kami akan terus berinovasi dan membina kerjasama yang membawa nilai berpanjangan kepada pelanggan serta masyarakat,” ujarnya.

Sebagai sebahagian daripada usaha menghargai pelanggan, Bank Islam sebelum ini menganjurkan kempen khas sempena cuti persekolahan dan musim percutian hujung tahun dari 1 September hingga 31 Disember 2025.

Menerusi kempen itu, 10 pelanggan terpilih memenangi hadiah perjalanan ERL percuma selama setahun.

Hadiah berkenaan disampaikan dalam satu majlis yang diadakan baru-baru ini di Kuala Lumpur sebagai penghargaan kepada pengguna setia kad Bank Islam bagi perkhidmatan KLIA Ekspres dan KLIA Transit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN