Azman dilantik sebagai CEO baharu AKPK - Utusan Malaysia

Azman dilantik sebagai CEO baharu AKPK

AZMAN HASIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) melantik Azman Hasim sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), berkuat kuasa hari ini.

Azman telah berkhidmat sebagai pemangku CEO sejak 1 Januari 2026 susulan persaraan bekas CEO, Azaddin Ngah Tasir, sekali gus memastikan peralihan kepimpinan yang lancar dan kesinambungan hala tuju strategik agensi itu.

Azman membawa pengalaman lebih tiga dekad dalam industri perkhidmatan kewangan serta hampir 20 tahun perkhidmatan khusus di AKPK.

Sebagai Pengurus Besar Bahagian Pembangunan Korporat, beliau menerajui pelbagai inisiatif transformasi utama yang mempercepatkan pendigitalan, memperkukuh keupayaan organisasi serta meningkatkan keberkesanan operasi.

Usaha-usaha tersebut telah mengukuhkan keupayaan AKPK dalam memenuhi keperluan kewangan individu serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang sentiasa berkembang.

Pengerusi AKPK, Fauziah Hisham bersama lembaga pengarah menyatakan keyakinan terhadap kepimpinan Azman.

“Dengan pengalaman luas, pandangan strategik serta pemahaman mendalam terhadap mandat AKPK, Azman berada pada kedudukan yang baik untuk memimpin organisasi ini ke fasa pertumbuhan dan impak yang seterusnya,” katanya.

Sebagai CEO, Azman akan mengetuai pelaksanaan keutamaan strategik jangka panjang AKPK dengan memberi tumpuan kepada pengukuhan keupayaan kewangan, memperluaskan akses kepada perkhidmatan nasihat dan pengurusan hutang serta memperhebatkan program jangkauan kepada komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan.

Kepimpinan beliau akan menyokong misi AKPK untuk memperkasa rakyat Malaysia membuat keputusan kewangan yang bijak, membina daya tahan kewangan serta mencapai kesejahteraan kewangan yang mampan pada setiap peringkat kehidupan.

Azman merupakan Felo Badan Akauntan Bertauliah (ACCA), ahli Institut Akauntan Malaysia (MIA) serta Perancang Kewangan Syariah Berdaftar dengan Majlis Perancang Kewangan Malaysia (MFPC).

Beliau memiliki ijazah dalam Perakaunan dan Kewangan dari University of Wales, Aberystwyth, United Kingdom. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN