Affin Hwang Lancar ELIs, tawar pulangan lebih tinggi kepada pelabur - Utusan Malaysia

Affin Hwang Lancar ELIs, tawar pulangan lebih tinggi kepada pelabur

HANIF Ghulam Mohammed (tengah) dan Pengerusi Affin Hwang Investment Bank Berhad, Hasli Hashim (dua dari kiri) selepas Majlis Pelancaran ELIs di Menara AFFIN @ TRX.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Affin Hwang Investment Bank Berhad (AFFIN HWANG), memperkenalkan produk Equity-Linked Investments (ELIs) yang menawarkan peluang pulangan lebih tinggi kepada pelabur sofistikated, termasuk kupon tahunan antara lima hingga 20 peratus bergantung kepada aset asas yang dipilih.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hanif Ghulam Mohammed berkata, produk pelaburan berstruktur itu direka bagi membantu pelabur memanfaatkan ketidaktentuan pasaran semasa selain menawarkan strategi pengurusan kekayaan yang lebih fleksibel.

Menurutnya, ketika pasaran global berdepan turun naik harga komoditi termasuk minyak mentah serta ketidakpastian pasaran ekuiti, ELIs membolehkan pelabur memperoleh pulangan kupon yang lebih tinggi berbanding pelaburan tradisional.

“Produk ini memberi peluang kepada pelabur menjana pulangan lebih menarik sambil memanfaatkan volatiliti pasaran yang dimasukkan dalam penentuan harga produk.

“Selain itu, sekiranya berlaku penukaran kepada saham asas, pelabur berpotensi memperoleh saham pada harga yang lebih rendah berbanding harga pasaran semasa,” katanya pada majlis pelancaran ELIs di Menara AFFIN @ TRX, di sini, hari ini.

Beliau berkata, produk itu sesuai untuk pelabur yang tidak mempunyai pandangan pasaran yang jelas tetapi masih mahu memperoleh pulangan yang lebih tinggi berbanding pelaburan ekuiti secara langsung.

Pada masa ini, ELIs yang ditawarkan oleh AFFIN HWANG dikaitkan dengan saham individu yang disenaraikan di Bursa Malaysia.

Hanif Ghulam berkata, pelancaran produk berkenaan juga memperkukuh keupayaan bank dalam menawarkan penyelesaian pelaburan yang disesuaikan mengikut pandangan pasaran, tempoh pelaburan dan tahap toleransi risiko pelanggan.

“Struktur ini direka untuk menukar ketidaktentuan pasaran menjadi kelebihan kepada pelabur dengan meningkatkan potensi hasil dan menyediakan akses yang lebih cekap kepada sekuriti asas pada paras harga yang menarik.

“Dengan parameter risiko yang jelas serta potensi pendapatan yang lebih baik, ia membantu pelanggan membuat keputusan pelaburan dengan lebih yakin dalam persekitaran pasaran yang dinamik,” katanya.

Beliau berkata, pengembangan penawaran produk berstruktur itu sejajar dengan pelan strategik AFFIN Axelerate 2028 (AX28) yang memberi tumpuan kepada pengukuhan platform pengurusan kekayaan dan pelaburan pelbagai aset.

“Walaupun tiada sasaran khusus ditetapkan dari segi bilangan pelanggan, produk berkenaan akan diperluaskan kepada pelanggan bernilai tinggi serta pelabur sofistikated sebagai sebahagian daripada usaha bank menyediakan rangkaian penyelesaian pelaburan yang lebih menyeluruh.

“Bagaimanapun, ELIs bukan produk yang dilindungi prinsipal dan hanya boleh ditawarkan kepada pelabur sofistikated mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

“Pulangan yang lebih tinggi datang bersama risiko pelaburan yang perlu difahami sepenuhnya oleh pelanggan sebelum membuat keputusan pelaburan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN