KUALA LUMPUR: AEON Credit Service (M) Berhad (AEON Credit) menyasarkan pertumbuhan pinjaman sekitar lapan peratus bagi tahun kewangan 2027 demi mengimbangi risiko peningkatan pinjaman tidak berbayar (NPL).
Saranan itu dikemukakan berikutan kebimbangan terhadap keupayaan membayar balik pinjaman oleh pelanggan berikutan tekanan inflasi semasa serta ketidaktentuan geopolitik global.
Pengerusi AEON Credit, Ng Eng Kiat berkata, walaupun syarikat merekodkan pertumbuhan belum terima sebanyak 11.4 peratus pada tahun kewangan 2026, unjuran yang lebih sederhana bagi tahun berikutnya adalah perlu bagi mengelakkan lonjakan NPL.
“Sifat perniagaan kami amat sensitif kepada ekonomi dunia mahupun ekonomi domestik disebabkan oleh profil asas pelanggan kami.
“Apabila pasaran mencatatkan pertumbuhan yang terlalu besar, cabaran yang datang bersamanya juga adalah lebih besar termasuklah risiko kadar NPL yang tinggi,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-29 kumpulan di sini, semalam.
Syarikat menyasarkan untuk mengekalkan nisbah NPL bersih pada paras tidak melebihi 1.3 peratus hingga 1.6 peratus bagi mengekalkan kestabilan portfolio kewangannya.
Bagi tahun kewangan berakhir 28 Februari 2026, kualiti aset kumpulan dilaporkan kekal stabil dengan nisbah NPL kasar lebih baik kepada 2.61 peratus berbanding 2.64 peratus pada tahun sebelumnya.
Sementara itu, Pengarah Urusan AEON Credit, Daisuke Maeda berkata, bagi mengawal perubahan kualiti aset, kumpulan kini mengekalkan nisbah perlindungan kerugian bukan pinjaman pada paras sekitar 200 peratus yang disifatkan mencukupi.
Katanya, langkah pengurusan risiko yang ketat amat kritikal terutamanya apabila inflasi dikesan memberi kesan langsung kepada segmen pelanggan B40 dan golongan muda di bandar-bandar besar.
“Kumpulan tidak boleh sekadar mengejar pertumbuhan volum perniagaan secara agresif tanpa kawalan kerana ia berisiko mengundang masalah NPL yang parah pada masa hadapan.
“Oleh itu, kami memperketat kriteria kelulusan pembiayaan termasuk menggunakan model pemarkahan kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan setiap pinjaman yang dikeluarkan adalah berkualiti tinggi dan sejajar dengan selera risiko kumpulan,” tambahnya.
Sebagai rekod, AEON Credit mencatatkan Keuntungan Selepas Cukai (PAT) sebanyak RM383.17 juta bagi tahun kewangan 2026, meningkat 3.4 peratus tahun ke tahun meskipun mengambil kira perkongsian kerugian daripada operasi digital AEON Bank (M) Berhad berjumlah RM85.22 juta.
Sehubungan itu, pemegang saham turut meluluskan cadangan pembayaran dividen akhir satu peringkat sebanyak 15.75 sen sesaham bersama dividen khas 2.00 sen sesaham bersempena dengan ulang tahun ke-30 penubuhan syarikat di Malaysia. – UTUSAN











