Untung bersih suku pertama Maybank susut kepada RM2.48 bilion

Untung bersih suku pertama Maybank susut kepada RM2.48 bilion

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malayan Banking Berhad (Maybank) mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM2.48 bilion bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026, susut 4.2 peratus berbanding RM2.59 bilion yang dicatatkan pada tempoh sama tahun sebelumnya.

Keputusan ini diimbangi sebahagiannya oleh pendapatan dagangan yang lebih rendah dalam persekitaran pasaran yang mencabar.

Margin faedah bersih (NIM)  kumpulan bertambah baik sebanyak 10 mata asas tahun ke tahun kepada 2.14 peratus berbanding 2.04 peratus setahun lalu, didorong oleh campuran pembiayaan yang lebih rendah dan nisbah akaun semasa dan simpanan (CASA) yang kukuh pada paras 41.1 peratus.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Sri Khairussaleh Ramli berkata, prestasi suku pertama itu mencerminkan kekuatan dan daya tahan francais terpelbagai kumpulan di tengah-tengah ketidaktentuan pasaran.

“Maybank terus mencatatkan pendapatan yang stabil disokong oleh margin faedah yang lebih kukuh, pengurusan kos yang berhemat dan kualiti aset yang stabil secara amnya pada suku ini.

“Asas kunci kira-kira kami kekal kukuh dengan penampan modal dan mudah tunai yang teguh untuk terus menyokong individu, perusahan kecil dan sederhana (PKS) dan korporat besar seiring dengan kemajuan strategi ROAR30,” katanya dalam kenyataan.

Pendapatan berasaskan dana bersih kumpulan meningkat 3.2 peratus tahun ke tahun kepada RM5.11 bilion hasil pertumbuhan pinjaman yang stabil, manakala pendapatan operasi bersih berjumlah RM7.10 bilion.

Pendapatan bukan faedah (NoII) pula menurun kepada RM1.99 bilion disebabkan oleh aktiviti dagangan dan pendapatan berkaitan pasaran global yang lebih lemah.

Bagi segmen pinjaman, pembiayaan kumpulan berkembang 0.9 peratus tahun ke tahun kepada RM684.5 bilion, diterajui pertumbuhan pasaran Malaysia sebanyak 5.5 peratus dan Singapura sebanyak 3.6 peratus.

Dari segi kualiti aset, peruntukan rosot nilai bersih berkurangan dengan ketara sebanyak 51.8 peratus kepada RM0.21 bilion, manakala nisbah caj kredit bersih bertambah baik kepada 10 mata asas berbanding 24 mata asas pada Mac 2025. Nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) pula berada pada paras yang terkawal iaitu 1.34 peratus.

Kedudukan modal Maybank kekal teguh dengan nisbah modal ekuiti peringkat 1 (CET1) berada pada paras 14.96 peratus dan Jumlah Nisbah Modal pada 18.47 peratus, manakala pulangan atas ekuiti (ROE) kekal sihat pada 11.2 peratus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN