UAE keluar OPEC beri kesan terhad terhadap harga minyak global - Utusan Malaysia

UAE keluar OPEC beri kesan terhad terhadap harga minyak global

JOMO Kwame Sundaram (tengah) pada Allianz Centre for Governance (ACG) Distinguished Speaker Series bertajuk The New World Order Is No Order, Let Alone New di Universiti Malaya di sini, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keputusan Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk keluar daripada Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dijangka memberi kesan terhad kepada harga minyak global yang kini lebih dipengaruhi oleh faktor geopolitik.

Penasihat Penyelidik Khazanah Research Institute, Prof. Dr. Jomo Kwame Sundaram berkata, harga minyak global kini tidak lagi ditentukan sepenuhnya oleh OPEC, sebaliknya lebih dipengaruhi faktor geopolitik seperti konflik dan strategi kuasa besar termasuk Iran dan Amerika Syarikat (AS).

Katanya, kesan langsung kepada Malaysia sebagai negara pengimport minyak dijangka tidak begitu ketara buat masa ini.

“Namun, dalam jangka panjang, ia boleh menjejaskan perpaduan dalam kalangan negara pengeluar minyak dan keupayaan mereka untuk menyelaraskan pengeluaran bagi mempengaruhi harga.

“Sukar untuk diramalkan secara tepat kesan jangka panjang ini. Ia bergantung kepada bagaimana situasi global berkembang kerana perlu mengambil kira keadaan semasa, pengalaman lalu dan kemungkinan senario masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Allianz Centre for Governance (ACG) Distinguished Speaker Series bertajuk The New World Order Is No Order, Let Alone New di Universiti Malaya di sini, semalam.

Ketika ditanya mengenai perkembangan negara-negara mula beralih daripada dolar AS, beliau berkata, Ia bukan fenomena baharu, sebaliknya telah berlaku sejak lama, termasuk selepas krisis kewangan Asia antara 1997 dan 1998.

Menurutnya, antara sebabnya ialah kebimbangan terhadap kestabilan dolar, keperluan mempelbagaikan risiko serta usaha mencari alternatif dalam sistem kewangan global.

“Dedolarisasi merujuk kepada usaha mengurangkan kebergantungan kepada dolar AS dalam perdagangan dan kewangan global. Pelaburan dalam aset seperti emas juga mencerminkan trend ini.

“Inisiatif seperti Perjanjian Chiang Mai. Negara-negara telah mula menggunakan mata wang tempatan dalam perdagangan dua hala. Contohnya, urus niaga dengan Jepun lebih banyak menggunakan yen berbanding dolar AS,” ujarnya.

Beliau berkata, proses dedolarisasi tidak semestinya mengenai pertukaran mata wang, sebaliknya dapat dilihat daripada peralihan terhadap emas dan perak.

“Apabila ini berlaku, ia mencerminkan mereka kurang rasa selamat dengan dolar dan mencari alternatif yang lain,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN