KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak mengadakan perbincangan mengenai sebarang pengurangan kuota Budi Madani RON95 (BUDI95) dalam Majlis Tindakan Ekonomi Negara.
Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, fokus utama kerajaan ketika ini adalah memastikan mekanisme subsidi sedia ada terus berfungsi bagi melindungi rakyat daripada tekanan kos sara hidup, khususnya dalam keadaan ketidaktentuan harga global.
“Setakat ini tidak ada perbincangan mengenai apa-apa pengurangan kuota BUDI95.
“Kita sedang fokus kepada pelaksanaan dan penambahbaikan kaedah pengurusan subsidi supaya lebih bersasar dan mengurangkan ketirisan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri pelancaran laporan Malaysia Economic Monitor ‘Raising the Ceiling, Raising the Floor: The Jobs Agenda as a Productivity Agenda’ di Asia School of Business di sini hari ini.
Akmal Nasrullah berkata, kerajaan ketika ini memberi tumpuan kepada langkah-langkah mitigasi termasuk penambahbaikan mekanisme subsidi diesel yang sedang dilaksanakan mengikut kaedah seperti BUDI.
Menurutnya, sebarang perubahan dasar berkaitan subsidi bahan api akan diumumkan secara jelas oleh kerajaan apabila keputusan dimuktamadkan.
“Bila keputusan dibuat, kita akan umum secara jelas. Buat masa ini, fokus adalah kepada pelaksanaan dan penambahbaikan sistem sedia ada,” jelasnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa pendekatan subsidi ketika ini perlu mengambil kira keseimbangan antara menjaga kebajikan rakyat dan memastikan kedudukan fiskal negara kekal mampan, terutama dalam keadaan tekanan harga tenaga global.
Sebelum ini, kuota BUDI95 dilapor berpotensi dikurangkan kepada 150 liter sejajar usaha kerajaan untuk memastikan keterjaminan bekalan bahan api domestik dalam berdepan krisis bekalan global susulan konflik Asia Barat.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, walaupun tiada garis masa ditetapkan bagi pelaksanaan pengurangan, langkah itu boleh dipertimbangkan kerana BUDI95 mempunyai keupayaan menyediakan data penggunaan secara terperinci. – UTUSAN










