Sedania rekod untung selepas cukai sebanyak RM0.82 juta

Sedania rekod untung selepas cukai sebanyak RM0.82 juta bagi suku ketiga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sedania Innovator Berhad (Sedania) mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM0.82 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Mac 2026, dipacu terutamanya oleh pertumbuhan dalam segmen teknologi pengguna lestari yang terus mengukuh.

Bagi suku sama, syarikat merekodkan peningkatan hasil sebanyak enam peratus tahun ke tahun kepada RM63.6 juta, manakala pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) meningkat lebih dua kali ganda kepada RM5.07 juta. 

Segmen teknologi pengguna lestari muncul sebagai pemacu utama pertumbuhan, dengan peningkatan hasil sebanyak 67 peratus tahun ke tahun kepada RM5.17 juta, manakala keuntungan operasi meningkat lebih dua kali ganda kepada RM2.40 juta, pencapaian suku tahunan tertinggi setakat ini. 

Bagi sembilan bulan pertama, segmen ini mencatatkan hasil sebanyak RM11.93 juta, meningkat 35 peratus tahun ke tahun, dengan keuntungan operasi naik kepada RM4.57 juta. 

Prestasi memberangsangkan ini didorong oleh peningkatan pesat penggunaan penyelesaian pembiayaan digital patuh syariah utama kumpulan iaitu As-Sidq dan Program Pembiayaan GoHalal. 

Pengarah Urusan merangkap Pengasas Sedania, Datuk Azrin Mohd Noor berkata, perkembangan As-Sidq dan GoHalal bukan sekadar lonjakan jangka pendek, sebaliknya satu perubahan struktur. 

Katanya, rakyat Malaysia, termasuk institusi yang berkhidmat untuk mereka, kini aktif mencari penyelesaian pembiayaan yang selari dengan nilai, mudah diakses secara digital dan inklusif kepada golongan yang kurang mendapat perkhidmatan. 

“Itulah yang kami bina dan pasaran memberi respons positif. Prestasi suku ini mengesahkan hasil pelaburan berterusan kami dalam platform teknologi. 

“Syarikat kini berada pada titik perubahan penting, di mana sifat hasil teknologi kewangan (fintech) yang berulang, digabungkan dengan margin yang kukuh serta rangkaian rakan institusi yang semakin berkembang, menjadikan segmen teknologi pengguna sebagai pemangkin transformasi sebenar dalam kumpulan,” katanya dalam kenyataan.

Melangkah ke hadapan, Sedania menjangkakan segmen teknologi pengguna lestari akan terus menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan masa depan, disokong oleh permintaan yang semakin meningkat terhadap penyelesaian pembiayaan digital serta peluang hasil berulang. 

Pada masa sama, SEDANIA kekal komited memperkukuh jenama kesejahteraan pengguna melalui pelaburan berterusan dalam pembinaan jenama, inovasi dan inisiatif penglibatan pelanggan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN