Sabah sasar 60 peratus penguasaan vendor tempatan dalam rantaian tenaga - Utusan Malaysia

Sabah sasar 60 peratus penguasaan vendor tempatan dalam rantaian tenaga

Penasihat Majlis Perkhidmatan Minyak dan Gas (OGSE) Sabah, Datuk Willie Ng ketika bercakap pada sidang media mengenai Persidangan dan Pameran OGSE Sabah 2026 di Menara Prestige Kuala Lumpur di sini, hari ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sabah menyasarkan untuk menguasai 60 peratus pegangan kontrak dalam rantaian bekalan tenaga negeri menerusi penganjuran Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Minyak dan Gas dan Peralatan Sabah 2026 (OGSE Sabah 2026).

Mandat yang diterajui bersama oleh Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (MINDET), Majlis Perkhidmatan Minyak dan Gas Sabah (SOGSC), dan Persatuan Kontraktor Petroleum Bumiputera Sabah (PKPBS) dengan sokongan strategik SMJ Energy ini bertujuan memastikan hasil bumi Sabah menjadi pemacu utama kepada pemerkasaan ekonomi jangka panjang rakyat negeri itu secara langsung.

Langkah itu juga menjadi tunjang kepada visi lebih besar bagi meletakkan Sabah sebagai hab perkhidmatan tenaga serantau menjelang 2030, disokong oleh pelancaran pelan hala tuju strategik lima tahun yang bakal diperkenalkan Jun depan.

Penasihat SOGSC, Datuk Willie Ng berkata, penganjuran di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 4 hingga 6 Jun itu akan menjadi platform kritikal bagi membincangkan ketahanan ekonomi negara dalam mendepani krisis tenaga global.

“Salah satu pengisian utama adalah sesi panel yang membariskan pengendali gergasi seperti Petronas, Shell, Total Energy dan Hibiscus bagi membincangkan strategi mendepani kejutan harga serta impak konflik global terhadap industri,” katanya pada sidang media OGSE Sabah 2026 di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran OGSE Sabah 2026, Michelle de la Harpe-Germani berkata, kedudukan Sabah sebagai ‘enjin utama’ sektor huluan Malaysia dengan sumbangan 50 peratus pengeluaran minyak mentah nasional menawarkan peluang pasaran yang sangat luas.

“Setakat ini, momentum vendor tempatan sangat luar biasa dengan peningkatan kontrak sebanyak 73 peratus kepada 499 kontrak pada 2025 berbanding 289 pada tahun sebelumnya.

“Kita mahu nilai rantaian ini terus kekal dalam negeri, terutamanya dalam bidang kritikal seperti teknologi AI, perkhidmatan marin laut dalam dan penyahkarbonan,” katanya.

OGSE Sabah 2026 dijangka menarik 5,000 delegasi industri dan 200 pempamer tempatan serta antarabangsa bagi meneroka potensi sumber komersial negeri yang dianggarkan mencecah 976 juta tong setara minyak (BOE). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN