PETALING JAYA: Ringgit dijangka bergerak dalam julat RM3.91 hingga RM3.97 minggu ini dengan pengukuhan harga minyak mentah Brent melepasi AS$98 (RM388.71) setong dilihat mampu menghalang mata wang tempatan daripada menembusi paras RM4.00 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, kenaikan harga minyak mentah dijangka meningkatkan hasil negara, sekali gus menyokong pengukuhan ringgit.
Menurut beliau, setiap kenaikan AS$1 (RM3.96) setong harga Brent dianggarkan menambah kira-kira RM120 juta hasil kerajaan sebulan.
“Dengan harga Brent kini sekitar AS$98 setong berbanding unjuran awal sekitar AS$60 (RM237.99) hingga AS$65 (RM257.82) setong dalam Belanjawan 2026, kerajaan berpotensi memperoleh lebihan hasil sekitar RM1.56 bilion sebulan.
“Situasi itu dijangka memberi sokongan kepada ringgit, meskipun pengukuhan dolar AS susulan pendirian Rizab Persekutuan AS (Fed) terus memberi tekanan kepada mata wang tempatan.
“Bagaimanapun, kenaikan harga minyak membantu mengimbangi tekanan tersebut dan menyebabkan ringgit dilihat sukar menembusi paras RM3.99 minggu ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, syarikat berkaitan tenaga seperti Petroliam Nasional Berhad (Petronas), Hibiscus Petroleum Berhad dan Sapura Energy Berhad dijangka meningkatkan penukaran hasil dalam dolar AS kepada ringgit.
Sementara itu, Pensyarah Kanan i-CATS University College, Kuching, Profesor Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, ringgit dijangka kekal stabil atau sedikit mengukuh, manakala Bursa Malaysia berkemungkinan bergerak dalam trend ‘sideways bullish’, iaitu peningkatan sederhana tanpa lonjakan besar dalam tempoh terdekat.
“Setakat Mei 2026, ringgit menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila mengukuh sekitar tiga hingga empat peratus berbanding dolar AS tahun ke tahun, malah pernah mencecah paras tertinggi dalam tempoh tujuh minggu.
“Pengukuhan ini didorong oleh aliran masuk pelabur asing, keyakinan terhadap ekonomi Malaysia, perkembangan sektor kecerdasan buatan (AI) dan pusat data, serta kestabilan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus,” katanya.
Beliau berkata, pasaran saham juga kekal stabil dengan FTSE KLCI Bursa Malaysia (FBM KLCI) mencatat trend positif pada awal Mei, disokong oleh saham perbankan dan sektor pengguna.
Mengulas lanjut, beliau berkata, musim perayaan memberi manfaat kepada saham sektor pengguna, logistik, pelancongan serta perbankan susulan peningkatan transaksi dan perbelanjaan.
“Data jualan borong dan runcit pada Mac 2026 turut meningkat hampir 10 peratus berikutan permintaan musim perayaan.
“Bagaimanapun, pelabur masih berhati-hati terhadap beberapa risiko termasuk kelembapan ekonomi global, hala tuju kadar faedah AS, harga minyak dan ketegangan geopolitik,” jelasnya. – UTUSAN










