PETALING JAYA: Pelabur asing kembali meneruskan aliran jualan bersih Bursa Malaysia pada minggu lalu dengan mencatatkan aliran keluar sebanyak RM325.5 juta, menurut MBSB Research.
Firma penyelidikan itu berkata, jualan dicatatkan selama empat daripada lima hari dengan tertinggi pada Jumaat iaitu RM202.9 juta, diikuti Selasa (RM64.9 juta), Khamis (RM60.3 juta) dan Rabu (RM19.4 juta).
MBSB Research berkata, Isnin erupakan satu-satunya hari dagangan di bursa yang mencatatkan belian bersih oleh pelabur asing sepanjang minggu lepas iaitu RM22.0 juta.
“Tiga sektor utama dengan aliran masuk bersih asing tertinggi adalah teknologi (RM135.5 juta), perkhidmatan dan produk industri (RM75.9 juta) serta perkhidmatan kewangan (RM75.6 juta),” katanya.
Sementara itu, tiga sektor utama lain mengalami aliran keluar bersih asing tertinggi ialah utiliti (RM261.4 juta), perkhidmatan dan produk pengguna (RM132.3 juta) serta pembinaan (RM105.9 juta).
MBSB Research menambah, institusi tempatan masih lagi meneruskan aliran masuk bersih iaitu sebanyak RM2.2 juta, dengan trend itu secara berterusan untuk tempoh lima minggu yang berturut-turut.
Pada masa sama, MBSB Research berkata, pelabur runcit tempatan kembali menjadi pembeli bersih setelah seminggu sebagai penjual, apabila mencatat jumlah aliran masuk sebanyak RM92.4 juta.
Purata jumlah dagangan harian (ADTV) adalah bercampur-campur dengan peruncit tempatan meningkat 14.2 peratus manakala institusi tempatan susut 3.7 peratus dan pelabur asing bertambah 3.4 peratus. – UTUSAN










