PETALING JAYA: Keuntungan selepas cukai (PAT) Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) meningkat kepada RM427 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2026 berbanding Kerugian Selepas Cukai (LAT) sebanyak RM730 juta pada suku keempat 2025.
Peningkatan itu terutamanya disebabkan oleh prestasi operasi yang lebih baik, kerugian pertukaran mata wang asing belum terealisasi yang lebih rendah serta keuntungan daripada pelupusan pelaburan.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Mazuin Ismail berkata,
konflik di Asia Barat telah mengubah landskap operasi kumpulan dengan pantas dan mewujudkan persekitaran yang lebih tidak menentu dan kompleks.
Menurutnya, ia turut menekankan kerentanan rantaian bekalan industri, memandangkan kepentingan strategik rantau itu dalam bekalan stok suapan dan bahan kimia global.
“Model bersepadu kami memastikan bekalan stok suapan yang stabil dan diperoleh secara domestik untuk operasi berasaskan gas di Malaysia melalui rangkaian saluran paip yang luas, sekali gus membantu mengurangkan kesan gangguan dalam bekalan global.
“Peningkatan Pendapatan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) juga mencerminkan kekuatan asas serta daya tahan model perniagaan kami yang disokong oleh penekanan berterusan terhadap kecemerlangan operasi dan komersial serta pengurusan kos yang berdisiplin.
“Kami terus melaksanakan penilaian dan rationalisasi portfolio bagi memastikan pelaburan, rantaian nilai serta penawaran produk kekal kukuh dan sejajar dengan keperluan pasaran yang sentiasa berubah,” katanya dalam kenyataan.
EBITDA kumpulan itu meningkat kepada RM1.2 billion pada suku berkenaan, didorong oleh margin purata produk yang lebih kukuh serta penurunan kos operasi.
Peningkatan itu turut disokong oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada portfolio Bahan Kimia Khusus mencerminkan peningkatan jumlah jualan serta penjualan hak pelepasan oleh Perstorp.
Sementara itu, pendapatan kumpulan pula meningkat sebanyak enam peratus suku ke suku kepada RM7 bilion, disokong oleh harga purata yang lebih tinggi bagi produk komoditi serta peningkatan prestasi jualan dalam portfolio Bahan Kimia Khusus.
Beliau berkata, dalam suku pertama, kumpulan telah melupuskan pelaburan dalam sebuah subsidiari dan sebuah syarikat bersekutu, yang menghasilkan jumlah keuntungan pelupusan sebanyak RM63 juta.
“Komitmen kami terhadap keselamatan dan kebolehpercayaan operasi kekal teguh, khususnya apabila kami melaksanakan aktiviti penutupan berjadual di beberapa loji segmen Olefin & Derivatif (O&D) di Kertih serta loji baja di Bintulu pada suku kedua.”
Mengulas mengenai prospek, Mazuin berkata, persekitaran operasi dijangka kekal tidak menentu, dipengaruhi oleh perkembangan geopolitik yang berterusan, gangguan rantaian bekalan serta permintaan hiliran yang lebih lemah.
“Dalam segmen O&D, harga dijangka menyederhana berikutan kekangan kemampuan yang menjejaskan permintaan daripada pengeluar hiliran.
“Segmen baja pula dijangka terus disokong oleh keutamaan keselamatan makanan global serta sekatan eksport di beberapa negara pengeluar utama, manakala bekalan methanol dijangka menjadi lebih ketat susulan aktiviti penutupan loji berjadual di rantau ini.
“Bagi segmen Pengkhususan, Kumpulan kekal berwaspada memandangkan sektor pembinaan dan automotif yang masih pelahan, namun permintaan bagi barangan pengguna menunjukkan pertumbuhan sederhana.
“Dalam persekitaran ini, PCG kekal fokus kepada kecemerlangan operasi dan komersial serta disiplin kewangan yang ketat bagi mengekalkan daya tahan dan daya saing merentasi kitaran,” jelasnya. – UTUSAN










