PETALING JAYA: Etika Kerja OKU diiktiraf dengan hampir 81.0 peratus majikan menilai standing dengan pekerja lain yang dilaporkan dalam penerbitan Kajian Penggajian Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di Malaysia.
Kajian ini dijalankan pada 2025 dengan penglibatan 1,830 majikan itu turut mendapati 71.9 peratus majikan mengiktiraf pekerja OKU dalam memacu produktiviti dan inovasi.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, hampir 22 peratus majikan menggaji pekerja OKU, sekali gus mencerminkan komitmen terhadap penglibatan golongan tersebut dalam pasaran buruh.
“Usaha ini bukan sahaja menunjukkan peningkatan kesedaran majikan terhadap kepelbagaian tenaga kerja, malah turut disokong oleh pencapaian hampir 30.0 peratus penggajian dalam kalangan pekerja OKU kategori fizikal.
“Hampir 91 peratus majikan yang pernah menggaji OKU telah membuka peluang pekerjaan antara satu hingga lima orang pekerja,” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, hampir separuh daripada majikan (47.5 peratus) menyatakan hasrat untuk terus menggaji OKU pada masa hadapan, menandakan kesediaan berterusan dalam memperluas peluang pekerjaan bagi golongan ini.
Dalam kalangan majikan yang sedang mengaji OKU, 83.7 peratus menempatkan antara satu hingga lima orang pekerja.
Sementara itu, jawatan pekerja asas kekal sebagai pilihan utama dengan kadar 31.4 peratus menunjukkan bahawa peluang pekerjaan bagi OKU semakin berkembang, khususnya dalam sektor yang memerlukan tenaga kerja asas dan didapati 86.5 peratus pekerja OKU yang digaji memiliki kad OKU sebagai pengesahan rasmi ketidakupayaan.
Walaupun terdapat cabaran seperti kos pengubahsuaian tempat kerja mesra OKU (63.3 peratus), kesukaran mendapatkan calon yang sesuai (78.6 peratus) serta tahap kesedaran majikan mengenai faedah dan insentif penggajian OKU yang masih perlu dipertingkatkan.
Kerjasama holistik antara kerajaan, majikan, organisasi OKU dan semua pemegang taruh adalah penting untuk memperkukuh penyertaan inklusif OKU dalam pasaran buruh serta menyokong pembangunan sosioekonomi negara. – UTUSAN










