PETALING JAYA: Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) giat mentransformasikan sempadan Malaysia–Thailand menjadi pintu masuk strategik bagi sektor pembuatan termaju, logistik rentas sempadan dan industri berasaskan teknologi menerusi Kerangka Pelaburan Baharu NCER.
Usaha itu memberi penekanan kepada pelaburan bernilai tinggi serta penciptaan pekerjaan berkualiti tinggi, sejajar dalam usaha mempercepat kemasukan pelabur asing dan mengukuhkan kedudukan Wilayah Utara sebagai destinasi utama dalam strategi penjajaran semula rantaian bekalan global China +1.
NCER memanfaatkan dua nod logistik utama iaitu Pelabuhan Darat Perlis (PIP) di Padang Besar dan Bukit Kayu Hitam Inland Clearance Depot (BKH ICD), yang masing-masing terletak di lintasan sempadan utama negara.
Kedua-dua hab ini disepadukan dengan taman perindustrian tematik termasuk Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA), Kedah Rubber City (KRC) sertaa Taman Sains dan Teknologi Kedah (KSTP) di bawah satu rangka kerja pembangunan ekonomi sempadan yang menyeluruh.
Pendekatan itu memastikan perancangan pembangunan yang saling melengkapi, keterhubungan logistik rentas sempadan yang lancar serta akses terus ke pasaran ASEAN yang mempunyai lebih 680 juta penduduk, selain hubungan strategik dengan subwilayah Greater Mekong.
Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datuk Mohamad Haris Kader Sultan berkata, strategi sempadan bersepadu itu dirangka bagi memanfaatkan perubahan besar dalam landskap pembuatan global.
“Strategi China +1 bukan sekadar trend sementara, sebaliknya merupakan penjajaran semula struktur rantaian bekalan dunia.
“Dengan gabungan kesiapsiagaan industri, keterhubungan logistik, inovasi, tenaga boleh baharu patuh alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta kemudahan perdagangan di pintu masuk sempadan, NCER menawarkan platform yang kompetitif dan berisiko rendah untuk akses ke pasaran ASEAN,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, Kerangka Pelaburan Baharu NCER turut memberi fokus khusus kepada pelaburan berteknologi tinggi yang mampu mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti untuk rakyat Malaysia.
Katanya, hasil awal daripada pengoperasian CVIA, PIP dan KRC membuktikan model pembangunan ekonomi sempadan NCER berada di landasan tepat.
“Projek-projek ini kini bukan lagi sekadar perancangan atas kertas, sebaliknya telah mula menunjukkan impak nyata dan meningkatkan keyakinan pelabur untuk pelaburan susulan,” katanya.
Dalam pada itu, CVIA sebelum ini merekodkan pelaburan penting daripada pengeluar global, Jabil, dengan operasi awal bermula pada akhir Disember 2025.
“Pengembangan secara berperingkat kini sedang dilaksanakan termasuk perancangan bagi pelaburan susulan.
“NCIA juga kini berada pada peringkat akhir rundingan beberapa lagi komitmen pelaburan utama di CVIA yang dijangka dimuktamadkan sebelum akhir tahun ini,” katanya.
Dalam masa sama, PIP yang siap sepenuhnya tahun ini mula beroperasi secara awal pada penghujung 2025 dan sedang meningkatkan kapasiti pengendalian secara progresif sepanjang 2026.
“NCER membangunkan infrastruktur luaran termasuk bonded road, jejambat dan susur landasan kereta api, manakala infrastruktur dalaman dibangunkan oleh Mutiara Perlis Sdn. Bhd.
“Kemudahan itu dijangka menjadikan Padang Besar sebagai hab logistik pelbagai mod utama yang mampu memendekkan tempoh penghantaran barangan rentas sempadan ASEAN,” katanya.
Di Kedah Rubber City, syarikat pengeluar tayar antarabangsa, Prinx Tire melaksanakan pelaburan kumulatif bernilai RM2.6 bilion dalam tempoh 15 tahun bagi membangunkan kilang pembuatan tayar pintar dan mesra alam.
“Operasi awal projek tersebut dijangka bermula pada suku keempat 2026 dan bakal mewujudkan limpahan ekonomi ketara termasuk peluang pekerjaan mahir serta pembangunan vendor tempatan,” katanya.
NCIA kini turut memuktamadkan beberapa lagi pelaburan utama bagi mempercepatkan pemenuhan kapasiti Fasa 1 KRC menjelang akhir tahun ini. – UTUSAN










