PETALING JAYA: Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) meluluskan kemudahan pembiayaan pertama berasaskan harta intelek (IP) di bawah Program Rintis Pembiayaan Berasaskan IP WIPO–MIDF.
Pencapaian itu mengiktiraf IP sebagai bentuk cagaran dan kepentingan sekuriti yang sah, sekali gus membuka ruang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berasaskan inovasi untuk mendapatkan dana tanpa bergantung kepada cagaran aset fizikal tradisional.
Program rintis ini adalah susulan daripada memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai antara MIDF dan Pertubuhan Harta Intelek Sedunia (WIPO) pada September 2025 bagi menyepadukan aset tidak ketara ke dalam penilaian kredit.
Ketua Pegawai Eksekutif MIDF, Azizi Mustafa berkata, kelulusan sulung ini membuktikan bahawa harta intelek adalah bentuk cagaran yang berdaya maju dan berkuasa dalam memacu pertumbuhan PKS.
“Dengan membuka kunci nilai aset tidak ketara, MIDF memperkasakan PKS berasaskan inovasi untuk menterjemahkan kreativiti mereka kepada pertumbuhan yang boleh diskalakan. Kami bangga menerajui ekosistem yang lebih inklusif bagi inovator ‘asset-light’ di Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Penerima pertama kemudahan ini merupakan sebuah PKS tempatan yang berjaya memanfaatkan aset IP miliknya sebagai komponen teras dalam penilaian kredit dan pakej keselamatan menggunakan metodologi penilaian khas.
Inisiatif ini turut disokong oleh dana khas berjumlah RM10 juta daripada SME Corporation Malaysia (SME Corp) yang diperuntukkan khusus untuk menyokong pembiayaan berasaskan IP.
Selain itu, kepakaran teknikal bagi analisis risiko komersial dan penilaian disediakan oleh pakar bebas, Adastra Intellectual Property Sdn. Bhd. dan Inngot Ltd (UK), manakala Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) memastikan kerangka undang-undang bagi pendaftaran sekuriti IP adalah teratur dan boleh dikuatkuasakan.
Sementara itu, Penolong Ketua Pengarah WIPO, Marco Aleman berkata, kerjasama tersebut membuktikan nilai sebenar harta intelek dapat dibuka apabila rakan strategik yang tepat bekerjasama dalam melengkapkan pemberi pinjaman dengan alat dan keyakinan yang diperlukan.
Buat masa ini, MIDF sedang menyemak beberapa lagi permohonan tambahan, yang mana kelulusan pertama ini akan menjadi cetak biru kepada masa depan pinjaman berasaskan inovasi di Malaysia. – UTUSAN










