Matrix Concepts catat jualan hartanah tertinggi RM1.51 bilion 

Matrix Concepts catat jualan hartanah tertinggi RM1.51 bilion 

MOHAMAD Haslah Mohamad Amin (tengah) bersama Pengasas dan Timbalan Pengerusi Eksekutif Matrix Concepts, Datuk Seri Lee Tian Hock (kiri) dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Matrix Concepts Holdings Berhad, Kelvin Lee Chin Chuan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Matrix Concepts Holdings Berhad (Matrix Concepts) mencatatkan jualan hartanah baharu tertinggi dalam sejarah syarikat sebanyak RM1.51 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026, meningkat 9.2 peratus berbanding RM1.38 bilion sebelum ini.

Pemaju hartanah berkata, prestasi memberangsangkan itu didorong oleh jualan kukuh tanah perindustrian menerusi pembangunan Malaysia Vision Valley City (MVV City), di samping permintaan berterusan terhadap projek utama syarikat, Sendayan Developments.

“MVV City muncul sebagai pemacu pertumbuhan baharu apabila menyumbang RM362.6 juta dalam jualan tanah perindustrian selain merekodkan sumbangan hasil pertama kepada kumpulan pada suku keempat tahun kewangan 2026. 

“Perkembangan itu mencerminkan strategi kepelbagaian Matrix Concepts melangkaui pembangunan kediaman tradisional bagi memanfaatkan pertumbuhan sektor industri dan logistik di koridor Malaysia Vision Valley,” katanya dalam kenyataan. 

Sementara itu, Sendayan Developments kekal sebagai penyumbang jualan terbesar kumpulan dengan merekodkan RM884.6 juta sepanjang tahun kewangan 2026. 

“Permintaan terhadap pembangunan berasaskan nilai di perbandaran tersebut terus kukuh, disokong oleh ekosistem bersepadu, jaringan hubungan strategik dan tarikan terhadap pembeli rumah yang mencari persekitaran kediaman berkualiti di luar pusat bandar utama.

“Usaha kepelbagaian kumpulan turut disokong oleh sumbangan projek pembangunan lain di Negeri Sembilan, Lembah Klang dan Johor. 

“Susulan pengambilalihan Horizon L&L Group pada Ogos 2025, projek syarikat itu menyumbang RM37.6 juta kepada jualan tahun kewangan 2026, manakala baki RM221.2 juta diperoleh daripada projek lain termasuk Levia Residence di Cheras dan Bandar Seri Impian di Johor,” katanya. 

Seiring sambutan pasaran yang menggalakkan, Matrix Concepts melancarkan projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) hampir RM2.0 bilion sepanjang tahun kewangan 2026, diterajui oleh Sendayan Developments dan MVV City masing-masing bernilai RM915.1 juta dan RM902.2 juta. 

“Kumpulan turut mencapai kadar pengambilan keseluruhan yang sihat sebanyak 77 peratus,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusinya, Datuk Mohamad Haslah Mohamad Amin berkata, tahun kewangan 2026 menjadi satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan pertumbuhan syarikat yang dipacu oleh pemacu pendapatan baharu serta daya tahan pembangunan teras kumpulan.

“Prestasi jualan dan kewangan kukuh ini mencerminkan kekuatan strategi kepelbagaian kami ketika Matrix Concepts terus memperluaskan jejak pembangunan di seluruh Malaysia.

“Sendayan Developments terus menjadi tunjang utama pertumbuhan di Negeri Sembilan, manakala MVV City dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan baharu kumpulan dengan anggaran GDV RM15 bilion yang akan dibuka secara berperingkat dalam tempoh 12 tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata, perkembangan itu dijangka mengukuhkan lagi pendedahan syarikat dalam sektor industri dan logistik selain menyumbang kepada pertumbuhan pendapatan jangka panjang.

Di Lembah Klang, sambutan positif terhadap projek Levia Residence turut mengukuhkan strategi pembangunan bandar Matrix Concepts menjelang pelancaran projek bertingkat tinggi baharu di Puchong.

Dari segi prestasi kewangan, Matrix Concepts mencatat hasil tahunan tertinggi sebanyak RM1.36 bilion pada tahun kewangan 2026, meningkat 18.2 peratus berbanding RM1.15 bilion sebelumnya. 

Keuntungan bersih turut meningkat 2.5 peratus kepada RM219.3 juta berbanding RM214 juta pada tahun kewangan 2025.

Sendayan Developments terus menjadi penyumbang utama pendapatan kumpulan dengan sumbangan RM875.9 juta atau 64.4 peratus daripada jumlah hasil tahun kewangan 2026.

Bagi suku keempat tahun kewangan 2026, Matrix Concepts merekodkan hasil RM308.9 juta, meningkat 1.2 peratus berbanding RM305.2 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya. 

Pembangunan hartanah kekal menjadi penyumbang utama hasil dengan RM291.6 juta atau 94.4 peratus daripada jumlah keseluruhan hasil. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN