MARA sasar kembali untung menjelang 2027

MARA sasar kembali untung menjelang 2027

ZULFIKRI OSMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: MARA Corporation Sdn. Bhd. (MARA Corp) dijangka kembali merekodkan keuntungan terkumpul menjelang akhir 2027, disokong pelaksanaan transformasi kewangan korporat yang kini menunjukkan hasil positif secara berperingkat.

Ketua Pengarah MARA merangkap Pengerusi MARA Corp, Datuk Zulfikri Osman berkata, unjuran itu berdasarkan prestasi semasa serta pelaksanaan langkah rasionalisasi dan pengukuhan tadbir urus dalam pengurusan modal kumpulan.

Menurutnya, MARA Corp Group dijangka mengurangkan kerugian terkumpul daripada RM862.1 juta pada 2023 kepada RM49.7 juta menjelang akhir 2026, sebelum kembali mencatat keuntungan pada tahun berikutnya.

“Sebahagian kerugian terkumpul sebelum ini berpunca daripada syarikat yang tidak lagi beroperasi secara komersial serta proses penstrukturan dan penswastaan yang dilaksanakan sejak awal 2000-an.

“Namun, transformasi kewangan korporat MARA kini mula membuahkan hasil yang lebih jelas dan boleh diukur, sekali gus memperkukuh daya tahan kewangan serta disiplin operasi organisasi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media Khas Pelaburan MARA bersempena ulang tahun ke-60 MARA di sini hari ini.

Zulfikri berkata, hasil MARA meningkat 10 peratus kepada RM1.69 bilion pada 2025 berbanding RM1.53 bilion pada 2024, meskipun berdepan persekitaran makroekonomi yang mencabar.

Bagi kumpulan MARA Corp, beliau berkata, hasil turut meningkat kepada RM1.026 bilion pada 2025 berbanding RM917.26 juta pada tahun sebelumnya, dengan keuntungan selepas cukai sebanyak RM85.9 juta.

“Prestasi ini jauh lebih kukuh berbanding 2021 apabila hasil hanya sekitar RM152 juta, sekali gus mencerminkan peningkatan hampir 10 kali ganda dalam tempoh empat tahun.

“Ia menunjukkan keberkesanan pelaksanaan penstrukturan semula serta pendekatan pelaburan berasaskan nilai yang lebih berdisiplin,” katanya.

Dalam tempoh 2021 hingga 2025, MARA turut menjana nilai sosioekonomi sebanyak RM1.67 bilion melalui entiti pembangunan utamanya.

Beliau berkata, GIATMARA melatih lebih 36,000 pelatih dengan nilai sosioekonomi RM1.44 bilion, manakala Yayasan Pelajaran MARA memberi manfaat kepada 280,903 penerima dengan nilai RM235 juta.

“Secara keseluruhan, kedua-dua entiti ini mencatat pulangan sosial terhadap pelaburan (SROI) sebanyak 1:1.57, membuktikan pelaburan MARA memberi impak langsung kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN