PETALING JAYA: Mah Sing Group Berhad (Mah Sing) mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM68.1 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026, meningkat tiga peratus berbanding suku sama tahun sebelumnya.
Prestasi berdaya tahan itu disokong oleh pelaksanaan operasi yang mantap serta kedudukan kewangan yang kukuh dengan baki tunai dan bank mencecah hampir RM1 bilion bagi memacu peluasan bank tanah strategik.
Bagi tempoh lima bulan pertama 2026, kumpulan berjaya meraih jualan hartanah baharu sebanyak RM978 juta, sekali gus meletakkan Mah Sing di landasan tepat untuk mencapai sasaran jualan tahunan sebanyak RM2.76 bilion.
Syarikat gergasi hartanah itu turut merekodkan nisbah pembayaran dividen tertinggi dalam tempoh dua dekad iaitu hampir 50 peratus, melibatkan pembayaran berjumlah RM128 juta kepada pemegang saham pada 26 Mei lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Eksekutif Mah Sing, Datuk Voon Tin Yow berkata, syarikat terus melihat permintaan mampan bagi projek kediaman siri M, selain disokong oleh baki jualan tidak dibil (unbilled sales) sebanyak RM3.33 bilion.
“Syarikat diunjur terus mencatatkan pendapatan lebih kukuh berbaki tahun ini, dipacu oleh rantaian projek baharu bernilai RM2.06 bilion merangkumi sektor kediaman, industri serta tumpuan yang semakin berkembang dalam peluang berkaitan pusat data,” katanya dalam kenyataan.
Pendapatan daripada segmen pembangunan hartanah mencatatkan RM460.6 juta bagi suku ditinjau, manakala keuntungan operasi meningkat kepada RM108.6 juta berbanding RM103.4 juta setahun lalu, hasil sumbangan projek baharu dan pemuktamadan kos pembinaan bagi beberapa kontrak.
Antara projek utama yang menyumbang kepada pendapatan termasuk M Nova dan M Zenya di Kepong, M Astra di Setapak, M Legasi di Semenyih, M Senyum di Salak Tinggi, serta Meridin East, M Tiara dan M Minori di Johor Bahru.
Sementara itu, Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Datuk Sri Leong Hoy Kum berkata, fokus syarikat kekal terarah kepada pembinaan perniagaan yang kalis masa hadapan menerusi pengurusan kewangan berdisiplin dengan kedudukan nisbah gearan bersih yang sihat pada paras 0.39 kali.
Mah Sing turut menjangkakan aliran masuk dana melebihi RM430 juta dalam tempoh beberapa bulan akan datang hasil penyerahan milikan kosong (vacant possession) beberapa projek termasuk M Nova di Kepong, M Senyum di Salak Tinggi, M Panora di Rawang dan Meridin East di Johor, sekali gus bakal memperkukuh kedudukan kecairan kumpulan.
Sebelum ini, syarikat berjaya menyerahkan milikan kosong projek M Astra di Setapak 15 bulan lebih awal daripada jadual, serta memperoleh skor Sistem Penilaian Kualiti dalam Pembinaan (QLASSIC) sebanyak 89 peratus iaitu yang tertinggi bagi pembangunan bangunan tinggi di Malaysia.
Dalam perkembangan lain, Mah Sing turut melancarkan Kempen Mah Sing 1-2-3 bermula 18 Mei hingga 31 Oktober 2026 yang menawarkan pelbagai insentif pemilikan rumah termasuk pengecualian yuran penyelenggaraan sehingga dua tahun dan ganjaran syiling emas bernilai RM3,000 bagi 12 projek terpilih di Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang.-UTUSAN










