Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra kendali lebih setengah juta penumpang - Utusan Malaysia

Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra kendali lebih setengah juta penumpang

WAJAH baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (KBR) yang dinaik taraf di Kota Bharu, Kelantan berjaya mengendalikan sebanyak 562,081 pergerakan penumpang bagi tempoh Januari hingga April 2026.

Pencapaian memberangsangkan itu mencatatkan pertumbuhan sebanyak 3.9 peratus tahun ke tahun, sekali gus membuktikan kejayaan peluasan dan pelancaran operasi terminal baharu tersebut dalam memacu ketersambungan trafik di koridor Pantai Timur.

Bagi April sahaja, lapangan terbang berkenaan mengendalikan 131,099 penumpang.

Sementara itu, trafik penumpang antarabangsa di KBR turut memaparkan peningkatan stabil dengan mencecah 4,562 penumpang dalam tempoh yang sama, dipacu oleh laluan antarabangsa sedia ada ke Singapura kendalian syarikat penerbangan tambang murah, Scoot.

Rangkaian pasaran KBR dijangka terus diperluas apabila laluan antarabangsa kedua yang menghubungkan Kota Bharu ke Jakarta, Indonesia bakal memulakan operasi pada Jun ini menerusi syarikat penerbangan AirAsia.

Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (Malaysia Airports), Datuk Mohd Izani Ghani berkata, peningkatan kemudahan dan kapasiti pengendalian di KBR meletakkan lapangan terbang itu pada kedudukan terbaik untuk menyokong pertumbuhan trafik masa hadapan.

“Pertumbuhan berterusan rangkaian pasaran ini mencerminkan keberkesanan strategi jangka panjang kumpulan yang didorong oleh pembangunan infrastruktur utama, ketersambungan syarikat penerbangan yang lebih kuat, serta peningkatan perkhidmatan berterusan.

“Langkah ini menyokong komitmen kami untuk membina rangkaian lapangan terbang yang lebih terhubung, berdaya tahan, dan kompetitif bagi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, sektor pelancongan, serta perdagangan,” katanya dalam kenyataan.

Dalam perkembangan lain, keseluruhan rangkaian lapangan terbang tempatan di bawah kendalian Malaysia Airports merekodkan 8.1 juta pergerakan penumpang pada April, membawa jumlah terkumpul setakat tahun ini kepada 35.5 juta pergerakan, meningkat 7.4 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Daripada jumlah tersebut, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengendalikan 5.2 juta pergerakan penumpang pada April dan 22.1 juta penumpang bagi tempoh empat bulan pertama 2026, melonjak 10.9 peratus tahun ke tahun.

Bagaimanapun, berbanding prestasi Mac 2026, rangkaian tempatan mencatatkan penurunan pergerakan penumpang sebanyak 10.6 peratus pada April, manakala KLIA susut 7.2 peratus bulan ke bulan.

Trend penurunan itu sudah dijangka ekoran permintaan perjalanan luar biasa tinggi yang dicatatkan pada Mac lalu sempena musim perayaan Hari Raya Aidilfitri, selain penyusunan semula operasi oleh beberapa syarikat penerbangan berikutan situasi geopolitik semasa di Asia Barat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN