Konflik global ancam sekuriti makanan serantau

Konflik global ancam sekuriti makanan serantau

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Risiko sekuriti makanan yang sedang dihadapi oleh Malaysia dan Asia Tenggara tidak wajar dilihat sebagai kesan sementara daripada konflik geopolitik di Asia Barat semata-mata, sebaliknya ia merupakan isu struktur sistem makanan yang telah terbentuk sejak sekian lama.

Menurut kertas perbincangan yang dikeluarkan oleh Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) mengenai geoekonomi kebergantungan makanan di Malaysia dan Asia Tenggara, krisis semasa yang meningkatkan kebimbangan terhadap bekalan tenaga, keterjaminan logistik dan input pertanian ini mendedahkan kerentanan rantaian bekalan serantau kepada gangguan geopolitik yang lebih luas.

KRI berkata, cabaran keterjaminan makanan semasa tidak boleh difahami hanya melalui gangguan bekalan jangka pendek, tetapi perlu diletakkan dalam konteks sejarah persaingan berterusan antara kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat (AS) dan China.

“Malaysia dan negara-negara Asia Tenggara yang lain telah lama terikat dengan sistem makanan global yang bergantung pada komoditi import, input pertanian, pasaran luar serta rantaian bekalan yang saling berkaitan.

“Sistem ini menjadi rapuh apabila ketegangan geopolitik mengganggu laluan perdagangan strategik seperti Selat Hormuz, sekali gus menjejaskan harga bahan api, bekalan baja dan kos penghantaran sebelum pengguna sempat merasai kesan kekurangan makanan di pasaran,” katanya.

Bagaimanapun, KRI mendapati usaha mengurangkan kebergantungan import tidak bermaksud sesebuah negara perlu mengasingkan diri daripada perdagangan luar menerusi pendekatan ‘nasionalisme makanan’.

Berdasarkan pemetaan empirikal terhadap lapan komoditi makanan, negara seperti Thailand dan Vietnam membuktikan nisbah sara diri yang tinggi dapat dilaksanakan seiring dengan kerjasama perdagangan serantau, termasuk sebagai mengeksport makanan utama kepada Malaysia.

Laporan itu turut mendedahkan ‘titik tekanan tersembunyi’ yang paling kritikal bagi sektor agromakanan serantau iaitu kebergantungan tinggi terhadap input pertanian luar seperti baja, makanan ternakan dan komponen tenaga.

Pengeluaran makanan ternakan di rantau ASEAN dikesan masih bertumpu di Argentina dan Brazil, manakala import baja jenis potash merupakan keperluan yang tidak dapat dielakkan bagi Malaysia, Indonesia, Thailand dan Vietnam, sekali gus mendedahkan rantaian domestik kepada kejutan harga input antarabangsa.

“Setakat ini, kesan langsung terhadap harga makanan pengguna di Malaysia dan rantau sekitar masih belum ketara ekoran penampan sementara daripada perdagangan intra-serantau serta pengalihan laluan kapal dari Teluk.

“Namun, tekanan asas sebenarnya sedang terbina dalam sistem pengeluaran. Kesan kenaikan kos input ini lazimnya dirasai terlebih dahulu oleh pengeluar pada peringkat awal pemprosesan sebelum impak harga yang tertangguh itu dipindahkan kepada harga pengguna dalam beberapa bulan akan datang,”katanya. 

Ketika ini, respons yang diambil oleh kerajaan di Asia Tenggara masih bersifat nasional melalui pengurusan stok makanan, subsidi kos bahan api, kawalan harga dan aturan bekalan dua hala secara terasing disebabkan kecenderungan mengutamakan fleksibiliti dasar domestik.

Bagi menangani isu kebergantungan struktur ini, kertas perbincangan tersebut mencadangkan rantau ini beralih kepada konsep cooperative self-reliance atau sara diri berteraskan kerjasama dengan memanfaatkan platform ASEAN bagi menyelaraskan tindakan nasional.

Langkah ini selari dengan keputusan Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 di Cebu pada 8 Mei lalu yang menyeru pemantauan lebih kukuh terhadap logistik dan harga input menerusi mekanisme sedia ada. 

Antaranya seperti Rizab Beras Kecemasan ASEAN Plus Tiga (APTERR), Sistem Maklumat Sekuriti Makanan ASEAN (AFSIS), Rangka Kerja Sekuriti Makanan Bersepadu ASEAN / Pelan Tindakan Strategik mengenai Sekuriti Makanan (AIFS/SPA-FS), Persatuan Benih ASEAN (APSA) serta kerjasama baja serantau (SEAFA) demi membina sistem makanan yang berdaya tahan terhadap kejutan luaran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN