KESESAKAN trafik kini seolah-olah menjadi ‘harga yang perlu dibayar’ bagi mereka yang memilih untuk menetap di kawasan bandar, khususnya berhampiran pusat tumpuan pekerjaan.
Walaupun semakin membelenggu kehidupan harian, isu itu tidak menghalang keputusan pembelian rumah dalam kalangan pembeli yang mengutamakan kemampuan kewangan serta akses kemudahan.
Bagi sebahagian pembeli, kompromi antara jarak perjalanan dan harga rumah sudah menjadi realiti dalam usaha memiliki kediaman di lokasi strategik.
Pembeli rumah pertama, Mohd. Sazwan Faez berkata, kesesakan trafik merupakan cabaran harian, namun faktor harga rumah yang lebih mampu milik menjadi pertimbangan utama dalam keputusannya.
Menurutnya, pengalaman menyewa di kawasan sesak di Shah Alam sebelum ini menjadikan situasi tersebut sebagai rutin kehidupan bandar.
“Saya sebelum ini menyewa di kawasan sesak di Shah Alam, jadi untuk memiliki rumah di kawasan seperti ini bukan masalah kerana harganya masih mampu milik dan kemudahan juga lengkap.
“Walaupun penat dengan kesesakan setiap hari, kemudahan di kawasan ini membuatkan saya memilih untuk membeli dan menetap di sini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan pertimbangan jangka panjang, khususnya kestabilan kewangan berbanding masa perjalanan harian.
“Kalau ikutkan memang letih dengan trafik, tetapi ini keputusan terbaik untuk jangka panjang. Sewa pun bukan murah, jadi lebih baik saya laburkan untuk rumah sendiri.
“Kemudahan seperti akses lebuh raya, pusat komersial dan fasiliti harian turut mengimbangi isu kesesakan di kawasan ini,” katanya.
Sementara itu, pemilik kediaman, Nur Afiqah Syahirah Abd. Jamal berkata, kesesakan trafik pada waktu puncak sememangnya perkara biasa terutama di kawasan yang sedang pesat membangun.
Katanya, faktor seperti lokasi, kemudahan, akses, harga rumah serta jarak ke tempat kerja menjadi pertimbangan utama sebelum membuat keputusan membeli kediaman.
“Walaupun kawasan tersebut terkenal dengan kesesakan trafik, saya tetap memilih membeli rumah di situ memandangkan laluan yang sering sesak itu bukan laluan harian saya ke tempat kerja.
“Saya juga bekerja secara bebas, jadi waktu puncak tidak terlalu memberi kesan kepada rutin harian,” katanya.
Menurutnya, kesesakan trafik boleh menjejaskan produktiviti kerana banyak masa terbuang di jalan raya yang sepatutnya boleh dimanfaatkan untuk perkara lebih berfaedah atau menjana pendapatan.
“Disebabkan itu saya memilih untuk bekerja berhampiran rumah. Saya bekerja sebagai perunding hartanah (REN) dan jarak rumah ke galeri jualan hanya kira-kira dua kilometer, sekali gus memudahkan urusan harian serta meningkatkan produktiviti,” ujarnya.
Dalam pada itu, Penolong Pendaftar Pejabat Naib Canselor Universiti Putra Malaysia, Raja Muhammad Muzamir Raja Mahadi berkata, kesesakan trafik kini sudah menjadi sebahagian daripada realiti kehidupan penduduk bandar.
“Mahu atau tidak, itu cabaran harian demi mencari rezeki di pusat bandar,” katanya.
Beliau berkata, akses ke tempat kerja kekal menjadi keutamaan berbanding faktor lain termasuk harga dan keselesaan trafik.
“Disebabkan tuntutan kerja, saya memerlukan kediaman yang memudahkan pergerakan urusan harian.
“Faktor lain tetap diambil kira, namun akses ke tempat kerja adalah paling utama buat masa ini,” katanya.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan membeli rumah di kawasan sesak sekiranya ditawarkan harga lebih mampu milik serta lokasi berhampiran tempat kerja.
“Sanggup, asalkan lokasinya strategik dan dekat dengan pejabat. Kesesakan boleh diurus dengan perancangan masa yang lebih baik.
“Contohnya keluar lebih awal atau merancang perjalanan dengan lebih efisien. Harga mampu milik dan jarak dekat adalah kelebihan yang sukar dilepaskan,” katanya.










