JOHOR BAHRU: Kerjasama lebih erat antara pelbagai agensi kerajaan dan organisasi keusahawanan tempatan perlu dirangka dalam usaha memperkasa ekosistem keusahawanan bumiputera menerusi pendekatan lebih progresif, inklusif dan mampan.
Naib Presiden 2 Wanita Dewan Teraju Usahawan Bumiputera Negeri Johor (Dewan TERAJU), Nor Akmal Muhammad berkata, kerjasama tersebut mendapat sokongan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Mohamad Alamin menerusi pertemuan, baru-baru ini.
Katanya, kepimpinan Dewan TERAJU komited memperkukuh peranan sebagai platform utama pemerkasaan usahawan dan peniaga Bumiputera di negeri ini.
“Kita percaya sinergi erat antara agensi kerajaan dan usahawan negeri merupakan pemangkin penting dalam memperkukuh daya saing ekonomi bumiputera. Usaha ini secara tidak langsung membuka lebih banyak peluang pertumbuhan kepada usahawan tempatan selaras aspirasi Maju Johor 2030,” katanya dalam kenyataan, di sini.
Sesi pertemuan kepimpinan Dewan TERAJU itu diketuai presidennya, Datuk Ismail Karim.
Tambah Nor Akmal, pihaknya berharap lebih banyak pertemuan akan diadakan antara kepimpinan pelbagai agensi dan kementerian bersama organisasi keusahawanan tempatan pada masa depan.









